Annuar persoal Zahidi bangkit isu jawatan TPM
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada Khamis mempersoal tindakan timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang memikirkan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata, siapa patut dilantik ke jawatan itu tidak perlu dibangkitkan sebaliknya masalah rakyat yang perlu difokuskan pada masa ini.
“Tak perlulah kita fikir soal jawatan Timbalan Perdana Menteri, siapa dan sebagainya.
“Buat masa ini, saya fikir elok kita fokus pada masalah rakyat yang sedang menghadapi soal kenaikan harga dan inflasi serta kita terus bekerja sebagai satu pasukan,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Zahidi yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini dilapor secara sinis mencadangkan agar jawatan Timbalan Perdana Menteri diisi oleh Annuar atau Datuk Seri Takiyuddin Hassan berikutan desakan pihak tertentu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenainya.
Jelas Zahidi, dua individu itu antara yang menjadi saksi dan mengetahui mengenai wujudnya memorandum persefahaman (MoU) di antara Ismail Sabri dan juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Annuar yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh menambah, adalah lebih baik jika pembangkang turut sama memberikan kerjasama mengekalkan kestabilan.
“Supaya kita boleh berfungsi sebagai sebuah kerajaan dan kemudian bila sampai masanya eloklah kita segerakan adakan pilihan raya.
“Tapi pada masa ini pada saya, polemik-polemik politik ada baiknya dikurangkan dan kita tumpu kepada berkhidmat kepada rakyat. Mana tahu lepas ini sudah tidak menjadi wakil rakyat.
“Jadi, masa yang ada ini gunakan sepenuhnya untuk berkhidmat kepada rakyat (dan) bayar hutang kita kepada rakyat yang telah memilih kita sementara masa masih ada,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Annuar turut mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menjelaskan tiada lanjutan MoU antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) kerana perkara itu sudah diputuskan dalam Mesyuarat MKT.
“MoU sedia ada itu bukan melibatkan parti dengan parti, MoU yang ada itu adalah antara PH dengan Perdana Menteri untuk mengekalkan kestabilan politik.
“Maka, pembangkang bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan melakukan transformasi Parlimen dan juga untuk memastikan adanya kestabilan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!