555 kompaun buang sampah merata di Kota Bharu

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan 555 kompaun berkaitan kegagalan menjaga kebersihan dan membuang sampah di merata tempat di daerah ini dalam tempoh Januari tahun ini sehingga 20 Julai lalu.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, kompaun-kompaun tersebut dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil MPKB.

Rosnazli Amin
Rosnazli Amin

Menurutnya, 77 kompaun dikeluarkan ke atas individu yang membuat kekotoran di tempat awam antaranya membuang sampah di luar tong sampah, membuang sisa kebun atau sisa binaan di tong sampah awam dan membuang sisa industri kilang ke dalam tong sampah awam.

“Mereka yang meletakkan sampah atau apa-apa sisa di kaki lima premis juga dikenakan kompaun di bawah Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran MPKB 1983.

“Selain itu, MPKB-BRI juga mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana premis makanan yang tidak menjaga kebersihan premis (premis kotor),” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

"478 kompaun pula dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah Undang-Undang kecil Pengendali Makanan MPKB 1986 dan Undang-Undang Kecil Pengawalan dan Penyeliaan Establisymen Makanan MPKB 1987," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau menegaskan, mereka yang gagal menjaga kebersihan akan dikenakan kompaun sehingga maksimum RM500.

“Sekiranya tawaran kompaun tidak dijelaskan, perlanggaran mana-mana undang-undang kecil boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti atau denda sehingga RM2,000 atau penjara setahun atau kedua- duanya sekali.

“Bagi kesalahan yang berterusan selepas sabitan, denda boleh dikenakan maksimum RM200 sehari kesalahan,” katanya.

Tambah beliau, tong sampah yang disediakan di tepi-tepi jalan hanya untuk sisa domestik iaitu sisa dapur atau sisa isi rumah harian.

“MPKB-BRI melantik tiga pengendali bagi pembuangan sisa lain seperti sisa pukal (katil, sofa & peralatan elektrik besar), sisa kebun (daun, ranting kayu, pelepah kelapa, rumput, kulit kelapa dan bunga).

“Turut diuruskan oleh pengendali termasuk sisa industri (sisa dari perkilangan dan perniagaan), sisa binaan (besi, kayu, batu, simen serta sisa dari ubah suai bangunan),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!