Lif rosak susahkan 4,000 penduduk PPR Kempas Permai

Keadaan dua lif yang rosak menyukarkan penghuni di Blok B, PPR Kempas Permai, Kempas, Johor Bahru melakukan urusan harian.
Keadaan dua lif yang rosak menyukarkan penghuni di Blok B, PPR Kempas Permai, Kempas, Johor Bahru melakukan urusan harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lebih 4,000 penduduk di Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, Kempas di sini, memohon pihak berkenaan membaiki dua lif yang rosak hingga menyusahkan mereka melakukan urusan harian.

Ketua blok, Ibrahim Ismail mendakwa, dua lif berkenaan sudah rosak sejak tiga hari lalu dan keadaan berkenaan menyukarkan penduduk di bangunan 17 tingkat itu.

"Di sini ada dua lif tetapi semuanya tidak dapat beroperasi. Kalau sebuah lif rosak, penduduk masih boleh gunakan lif satu lagi.

"Malangnya kini kedua-duanya mengalami kerosakan. Selain dua unit lif ini terdapat lif ketiga yang baru siap dibina namun tidak dibenarkan untuk digunakan atas alasan belum dirasmikan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Ibrahim berkata, dia kasihan melihat peniaga dan pelajar, warga emas dan pesakit di PPR berkenaan yang terpaksa berdepan masalah tersebut.

"Bayangkan nasib warga emas yang tinggal tingkat 10 hingga 17 terpaksa naik tangga," ujarnya.

Dari kiri: Ibrahim, Mohd Reza dan Mukhtar
Dari kiri: Ibrahim, Mohd Reza dan Mukhtar

Menurut Ibrahim, pihaknya sudah membuat aduan kepada pihak kontraktor penyelenggaraan lif namun sehingga kini tiada tindakan.

Mohd Reza Rahani, 47, pula berkata, dia dan anak-anak terpaksa menggunakan tangga ke rumah mereka di tingkat 13.

Malah, dia dan anak-anaknya terpaksa menggunakan tangga sekurang-kurangnya empat kali sehari hingga mengalami sakit kaki.

"Anak-anak yang ke sekolah mengeluh sakit kaki dan penat namun mereka perlu ke sekolah bagi menduduki peperiksaan pertengahan tahun. Kami harap masalah ini dapat diatasi segera," katanya.

Warga emas, Mukhtar Abdullah, 68, turut mengakui mengalami sakit lutut apabila terpaksa turun naik tangga dari tingkat 11.

"Kami bimbang sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan ketika waktu seumpama ini," katanya.

Sementara itu, jurucakap badan pengurusan PPR tersebut berkata, penyelenggaraan lif itu di bawah tanggungjawab syarikat kontraktor yang dilantik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan bukan dilantik badan pengurusan flat.

Katanya, walaupun di luar tanggungjawab mereka, pihak pengurusan turut menghubungi pihak kontraktor yang dilantik bagi mendapatkan maklumat.

"Kami diberi jaminan bahawa kerosakan akan dibaik pulih secepat mungkin oleh kontraktor berkenaan.

"Kami difahamkan lif baharu akan disediakan bagi penduduk membabitkan tujuh blok di kawasan flat ini," katanya ketika dihubungi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!