Kasihnya bapa tiada penghujung...
PUTRAJAYA - Kasih seorang bapa tiada penghujungnya. Itulah diibaratkan apabila seorang bapa yang sudah dimamah usia sanggup berdiri di tengah panas mengangkat dan memeluk erat anaknya yang sebelum itu rebah dalam perbarisan sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Beberapa foto yang dimuat naik oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di laman Facebooknya itu meruntun hati sesiapa sahaja yang melihatnya.
Alexander mengakui beliau tidak dapat menahan air matanya melihat momen berlaku di hadapannya.
"Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu," katanya pada Khamis.
Menurutnya, selipar yang disarung warga emas itu turut terlucut ketika berlari, namun tidak diendahkan.
"Yang bermain di fikiran ketika terlihat perkara itu, sama ada ayah ingin mengusung anaknya keluar barisan. Ternyata sangkaan sedemikian meleset.
"Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah," katanya.
Beliau berkata, momen itu membuktikan pengorbanan tidak terperi seorang bapa terhadap anaknya.
"Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah, hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan," katanya.
>Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!