Kuatkan mental Speedy Tigers

Arul Selvaraj - Foto Bernama
Arul Selvaraj - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI skuad hoki lelaki senior negara, Arul Selvaraj akan memberi penekanan khusus bagi meningkatkan tahap mental The Speedy Tigers sebagai persediaan menjelang Piala Dunia 2023 di India bermula 13 hingga 29 Januari tahun depan.

Arul berkata, sasarannya adalah untuk terus meningkatkan mentaliti pemain ke tahap lebih baik sejak dilantik pengendali skuad Speedy Tigers setahun lalu.

“Saya nampak selepas Piala Asia 2022, pemain diberikan cuti rehat selama sebulan dan sekembalinya mereka ke kem latihan, tahap kecergasan pemain cuma kurang sekitar 10 hingga 20 peratus sahaja.

“Bagi saya perkara itu sangat baik sebab pemain mempunyai inisiatif sendiri untuk melakukan latihan ketika waktu cuti. Saya sudah beritahu mereka saya tidak akan menjaga sesiapa, mereka perlu mengembangkan diri sebagai pemimpin,” katanya.

Pada masa sama, beliau optimis Speedy Tigers mampu mempamerkan aksi terbaik pada penampilan kesembilan di pentas Piala Dunia, selepas menduduki tempat ke-15 pada edisi 2018 yang turut diadakan di Bhubaneswar, India.

“Saya sedang menumpukan perhatian dalam usaha memberi penekanan kepada ketahanan fizikal pemain bagi memastikan mereka mempunyai stamina mencukupi untuk beraksi pada Piala Dunia nanti,” ujarnya.

Arul Selvaraj berkata, Piala Sultan Azlan Shah bermula 1 hingga 10 November ini, diikuti Piala Negara-Negara 2022 pada 28 November hingga 4 Disember dan aksi persahabatan di Sepanyol September depan adalah antara persediaan untuk menghadapi Piala Dunia 2023.

“Saya percaya kesemua perlawanan berkenaan adalah medan pemanas badan terbaik bagi setiap pemain dalam mengekalkan rentak permainan cemerlang terutamanya apabila dapat bersaing dengan pasukan terbaik dunia,” jelasnya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Speedy Tigers adalah pada edisi 1975 ketika menjadi tuan rumah kejohanan itu apabila meraih tempat keempat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!