PKNS lancar Widuri Residensi

Projek perumahan ini kini 84 peratus siap dibina dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2020.
Projek perumahan ini kini 84 peratus siap dibina dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2020.
A
A
A

ANTARA GAPI- Berita baik kepada mereka yang ingin memiliki kediaman pertama atau kedua dengan harga lebih murah melalui rebat sehingga 12 peratus.

Widuri Residensi yang terletak di pusat pertumbuhan bandar baharu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Antara Gapi menawarkan harga asal antara RM440,600 hingga RM517,200 dengan keluasan lantai dari 1,915 hingga 1,966 kaki persegi.

Projek rumah link dua tingkat PKNS terdiri daripada 154 unit ini menawarkan potongan harga 10 peratus menerusi Skim Smart Ownership bagi pembelian hartanah pertama PKNS, manakala rebat 12 peratus bagi pemilikan hartanah kedua PKNS di bawah Loyalty Scheme.

Kos duti setem Memorandum Of Transfer (MOT) ditanggung PKNS termasuk yuran guaman perjanjian jual beli.

Kediaman ini dibina dengan reka bentuk kontemporari moden dan dilengkapi kehijauan tanaman landskap, selain menghadap pemandangan Genting Highlands.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim berkata, kediaman ini dibina di tanah berkeluasan lima hektar dengan dua variasi iaitu Jenis A dan B, masing-masing mempunyai empat bilik tidur serta tiga bilik air.

Menurutnya, Widuri Residensi terletak berhampiran pelbagai kemudahan seperti kedai, surau, taman permainan, tasik dan sekolah.

"Hanya 30 minit dari Kuala Lumpur dan 10 minit ke Stesen Komuter Serendah, selain dekat dengan beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Guthrie, Latar dan Rawang Bypass.

Artikel Berkaitan:

"Sejak dibuka, rumah corner lot mendapat permintaan tinggi. Untuk hari ini sahaja kita sudah menerima 26 pendaftaran daripada pembeli.

"Kawasan perumahan ini luas dan selesa berbanding perumahan lain tanpa perlu bersesak memikirkan tempat untuk meletak kenderaan,” katanya.

Aisamuddin antara pembeli yang menerima rebat 12 peratus.
Aisamuddin antara pembeli yang menerima rebat 12 peratus.

Ujarnya, projek perumahan ini kini sudah 84 peratus siap dibina dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2020.

Seorang pengunjung dari Sungai Besi, Khairul Izam, 36, berkata, dia membeli rumah berharga RM440,600 dan menerima potongan harga 12 peratus menjadikan harga rumah berkenaan bernilai RM387,728.

Menurutnya, rebat itu diperoleh berikutan ibu bapanya pernah membeli rumah dibangunkan PKNS.

"Ini adalah rumah pertama saya dan isteri (Nursyahira Abdul Rahim, 32) bersama dua anak.

"Harga yang ditawarkan lebih murah, susah nak dapat harga sebegini kerana Widuri Residensi ini terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur.

"Saya sudah pergi tengok rumah ini. Reka bentuknya cantik, kawasan luas dan suasana tenang,” katanya.

Manakala penyelia kilang, Mohd Al Hakim Md Apandi, 28, berkata, dia menerima rebat sebanyak 10 peratus kerana pertama kali membeli rumah dibangunkan PKNS.

Katanya, harga ditawarkan berbaloi dengan pelbagai fasiliti selain berhampiran dengan rumah keluarganya.

Bagi Aisamuddin Md Noor, 31, dia melihat perkembangan pembinaan projek tersebut yang bermula tahun lalu kerana berulang-alik dari rumah ibu bapanya ke Kuala Lumpur.

"Mulanya saya ingat projek bangunan kedai, tapi bila semak di Facebook PKNS, baru tahu rupanya projek perumahan.

"Saya buat pinjaman bersama isteri (Aisyah Lokman, 31) dan dapat rebat 12 peratus kerana ibu saya pernah beli rumah PKNS,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!