Penyu Agar betina dipercayai dibunuh di perairan Pulau Kapas

Seekor penyu Agar betina ditemukan mati dengan kesan kelar di bahagian leher di perairan Pulau Kapas. - Foto Bernama
Seekor penyu Agar betina ditemukan mati dengan kesan kelar di bahagian leher di perairan Pulau Kapas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seekor penyu Agar betina ditemukan mati dengan kesan kelar di bahagian leher di perairan Pulau Kapas dekat Marang, dipercayai dibunuh pihak tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Persatuan Pemuliharaan Pulau Kapas Mohd Farith Rezza Isa berkata bangkai dengan berat kira-kira 80 kilogram dengan anggaran umur 45 hingga 50 tahun itu ditemukan dalam keadaan terapung oleh pengusaha bot pulau peranginan berkenaan kira-kira 11.30 pagi, pada Khamis.

"Hanya ada satu kesan kelaran di bahagian leher dan organ dalaman penyu itu masih berada dalam keadaan yang baik.

"Laporan telah dibuat kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan bangkai itu juga telah ditanam. Kami menggesa siasatan sewajarnya dilakukan segera agar tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pelaku tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Khamis.

Difahamkan, ini adalah kes pertama melibatkan kematian penyu akibat unsur khianat pada tahun ini.

Sementara itu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu Dr Mohd Uzair Rusli berkata penyu itu dipercayai mati kurang dari 48 jam kerana bangkainya masih belum kembang dan tidak pecah.

"Kebiasaannya, tindakan mengelar leher penyu ini adalah bertujuan memastikan penyu mati dengan cepat untuk menyelamatkan pukat.

"Sekiranya memang benar ia mati akibat perbuatan khianat, kita percaya perbuatan kejam ini berlaku dalam perairan negara kerana nelayan asing tidak akan meninggalkan bangkai seperti itu kerana ia mempunyai harga di pasaran," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!