Adu tekanan mental kepada kaunselor profesional

Siti Mariah
Siti Mariah
A
A
A

SHAH ALAM - Individu mengalami tekanan, kegelisahan dan kemurungan susah untuk berkongsi masalah mereka, malah cenderung menyendiri dan mengharapkan ia dapat reda dengan sendiri.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sikap sedemikian amat bahaya dan boleh memakan diri sendiri.

Beliau sehubungan itu menyarankan golongan terbabit agar tampil mengadu kepada kaunselor profesional menerusi talian Selangor Mental Sihat (Sehat) disediakan menerusi aplikasi Selangkah.

“Sebahagiannya merasakan ia hanya perkara kecil dan tidak perlu diketahui orang lain.

“Jangan ambil mudah, kongsi perasaan anda kepada kaunselor bertauliah. Kami sedia mendengar,” kata Siti Mariah menerusi catatan di laman Facebooknya pada Khamis.

Orang awam yang ingin meluahkan masalah mereka boleh menghubungi talian yang beroperasi 24 jam menerusi 1700-82-7536 atau 1700-82-7537.

Talian Sehat diwujudkan awal Jun lalu yang dikendalikan oleh kaunselor berpengalaman untuk mendengar dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Talian tersebut juga boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi Selangkah.

Menerusi program tersebut, pengguna boleh mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal skala tekanan dan pemeriksaan risiko secara kendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!