Majikan gagal daftar perniagaan paling tinggi: Perkeso Johor
JOHOR BAHRU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor merekodkan kesalahan majikan yang gagal mendaftarkan perniagaan adalah paling tinggi di negeri ini.
Pengarahnya, Tong Sing Chuang berkata, pada tahun lalu sahaja, 198 daripada 400 kompaun dikeluarkan batas kesalahan tersebut.
"Majikan gagal daftar perniagaan ini paling tinggi antara sembilan hingga 10 peratus. Rekod tahun lepas ada 198 kes sebab lewat daftar perusahaan.
"Diikuti lewat daftar pekerja dengan 118 kes kemudian ada 83 kes lewat lapor kemalangan. Ada satu kes rekod majikan tak sediakan rekod caruman," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Ops Kesan Perkeso bersama KWSP peringkat negeri, semalam
Sehingga Disember 2018, 168 majikan didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk gagal lapor kemalangan, gagal daftar perusahaan, gagal patuhi saman, gagal daftar pekerja, gagal bayar caruman dan gagal bayar tunggakan.
Sementara itu, menurut Sing Chuang, sehingga bulan lalu, 97 kompaun dikeluarkan dengan 62 kes didakwa di mahkamah.
Mengulas soal Ops Kesan yang diadakan di Kota Tinggi hari ini, Sing Chuang berkata seramai 60 kekuatan anggota bagi Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Johor terlibat.
"Operasi kali ini berbeza kerana kita bersama-sama dengan KWSP. Kita turunkan 40 pegawai Perkeso dan 20 pegawai KWSP di kawasan komersial di Kota Tinggi.
"Dalam operasi ini juga kita mensasarkan majikan yang gagal daftar perniagaan dan pekerja mereka, ada sekitar 10 peratus ini," katanya.
Tegasnya, mana-mana majikan yang ingkar berdepan kompaun antara RM500 hingga RM4,000 mengikut kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!