Pembekal berdepan denda RM1 juta, simpan minyak masak lebihi had
PADANG BESAR - Padah menyimpan bekalan minyak masak melebihi had yang dibenarkan, seorang pembekal berusia 41 tahun berdepan berdepan dengan hukuman denda sehingga RM1 juta jika didapati bersalah.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, bertindak atas maklumat risikan, polis telah menyerbu premis pembekal minyak masak itu di Kampung Baru Padang Besar di sini pada jam 9 pagi Khamis.
"Hasil pemeriksaan mendapati pembekal tersebut menyimpan sejumlah 92.16 tan (92,156 kilogram) minyak masak botol lima liter, sedangkan jumlah maksimun yang ditetapkan adalah 80 tan (80,000 kilogram),” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar pada Khamis.
Beliau berkata, polis telah merampas 12 tan (12,156 kilogram) minyak masak lebih had yang dibenarkan dianggarkan bernilai RM48,800.
Surina berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 13 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan hukuman bagi kesalahan adalah denda maksimun RM1 juta atau penjara tidak melebehi tiga tahun.
Katanya, barang kes dan suspek diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!