PM sampaikan hasrat, aspirasi kerajaan kepada 4 Duta Besar Malaysia
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis menyampaikan hasrat dan aspirasi kerajaan kepada empat Duta Besar Malaysia yang telah menerima watikah pelantikan baru-baru ini.
Hasrat dan aspirasi itu disampaikan oleh Perdana Menteri ketika menerima kunjungan hormat keempat-empat Duta Besar di Putrajaya.
"Dalam pertemuan ini, saya telah menyampaikan hasrat dan aspirasi kerajaan kepada duta-duta ini apabila menjalankan tugas di negara penempatan masing-masing kelak.
"Ini termasuklah usaha mempertingkatkan kerjasama dua hala sedia ada dan meneroka peluang pelaburan serta bidang kerjasama baharu yang menguntungkan negara,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Mereka ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Shahril Effendi Abd Ghany, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Lim Juay Jin dan Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar.
Pada pertemuan itu, Ismail Sabri turut mengucapkan selamat maju jaya kepada kesemua Duta Besar berkenaan."Sentiasalah memelihara dan memartabatkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.
Pada 12 Julai lepas, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada empat ketua perwakilan Malaysia ke luar negara di Istana Negara di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!