Penstrukturan semula Liga-M pacu daya saing

Sabah FC dan TFC antara pasukan bersaing dalam Liga Super musim ini. - Foto Bernama
Sabah FC dan TFC antara pasukan bersaing dalam Liga Super musim ini. - Foto Bernama
A
A
A

PENSTRUKTURAN semula Liga Malaysia (Liga-M) disifatkan langkah tepat dalam memastikan saingan liga lebih berdaya saing bermula musim depan.

Malah transformasi dilaksanakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membabitkan enam aspek utama termasuk pertambahan pasukan Liga Super kepada 18 pasukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, pertambahan pasukan menyaksikan pertambahan perlawanan akan memberi impak positif terutamanya kepada aspek nilai komersial.

“Saya setuju dengan penambahan 18 pasukan di mana ini adalah keputusan sangat baik untuk melihat perlawanan dalam liga lebih banyak berlangsung.

“Lagi satu kita bayar gaji pemain pun bukan murah, jadi kalau boleh kita nak tengok mereka beraksi setiap perlawanan, sebab apabila kita mengadakan perlawanan, itulah masanya untuk kita menjana balik pendapatan.

“Setiap perlawanan itu ibarat macam kita mengadakan acara dan program di mana orang dapat datang stadium, jual jersi, dapat menemukan penyokong dan pemain, selain hasil penyiaran pun dapat berjalan lebih banyak.

“Jadi, banyak benda bagus apabila lagi banyak pasukan beraksi di mana Liga Super ini sebenarnya patut kita banggakan untuk dinaikkan taraf,” katanya.

Sementara itu, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman pula menyifatkan ini merupakan masa yang tepat untuk semua pasukan mengembangkan lagi persaingan di pentas Liga Super dengan penambahan 18 pasukan berbanding 12 pada masa ini.

Menurutnya, MFL telah membuat keputusan yang cukup positif untuk meletakkan saingan Liga-M berada setaraf dengan liga luar negara.

“Bola itu ibarat satu perniagaan, kalau kita ada aksi di laman sendiri pada saya bagus untuk pendapatan kelab dan juga baik untuk pemain sebab kalau tak banyak perlawanan, bosan juga.

“Bagi saya, bila ada 12 pasukan sahaja, tak sampai lagi tahap untuk berada setaraf di antarabangsa sebab kebanyakan pasukan di ranking 50 dan 100 dunia pun, purata lebih kurang 17 hingga 18 pasukan yang bertanding.

“Jadi kenapa kita nak main dengan 12 pasukan sahaja dan inilah benda yang kami sambut baik daripada MFL”, katanya.

Jelas Norizam lagi, Kelantan FC yang kini menduduki tangga teratas Liga Premier mensasarkan keuntungan lebih besar pada jangka masa panjang dan peluang itu tampak lebih cerah dengan penstrukturan Liga-M.

Norizam berkata, Kelantan FC mampu menjana pendapatan RM8 juta hingga RM10 juta selain tajaan syarikat luar dengan penambahan 34 perlawanan liga.

Untuk rekod, selain penambahan pasukan di Liga Super, antara aspek lain yang turut diputuskan adalah saingan Liga Premier akan dimansuhkan dalam tempoh tertentu dan, Liga Simpanan akan diperkenalkan.

MFL juga menetapkan format baharu pendaftaran sembilan pemain import diberikan kepada kesemua pasukan Liga Super bermula 2023.

Namun MFL masih kekal hanya membenarkan lima pemain import (iaitu 3 1 (Asia) 1 (ASEAN) di atas padang pada satu satu masa dengan hanya tambahan seorang pemain import di bangku simpanan.

Format Piala FA dan Piala Malaysia pula akan dirumus semula dengan peningkatan perlawanan liga dan juga perubahan kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.

Akhir sekali penstrukturan semula dan peningkatan perlawanan Piala Belia dan Piala Presiden bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!