Pertembungan buku dengan ruas

Liz Truss (kiri) dan Rishi Sunak. - Foto AFP
Liz Truss (kiri) dan Rishi Sunak. - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak atau Menteri Luar, Liz Truss bakal menjadi Perdana Menteri baharu Britain yang akan diumumkan pada 5 September depan.

Sehingga kini, kedua-dua mereka masih bertahan dalam persaingan menggantikan Boris Johnson sebagai Perdana Menteri dan ketua parti Konservatif.

Sunak terus menjadi calon kegemaran dengan mendapat 137 undi dalam undian pusingan kelima dan terakhir manakala Truss mendapat 113 undi.

Menteri Perdagangan, Penny Mordaunt pula mendapat 105 undi sekali gus terkeluar daripada persaingan.

Sunak dan Truss akan berkempen ke seluruh negara bagi mendapatkan sokongan daripada 200,000 anggota Konservatif yang akan membuat pemilihan menerusi undi pos sepanjang Ogos.

Selepas memenangi pusingan kelima itu, Sunak berkata, partinya perlu mengembalikan keyakinan rakyat, membina ekonomi serta menyatukan negara, sedang negara itu dilanda krisis kos sara hidup paling teruk disebabkan pandemik, perang di Ukraine dan Brexit.

Tinjauan pendapat bagaimanapun menunjukkan Truss dijangka dapat mengalahkan Sunak untuk menjadi ketua parti.

“Saya percaya menurunkan cukai dan membuka peluang akan membantu kami mendapatkan pertumbuhan ekonomi yang diperlukan Britain,” kata Truss. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!