Apabila riak, sombong kuasai diri

A
A
A

TUJUAN tulisan ini adalah untuk kita sama-sama berbicara dan merenungi masalah atau penyakit riak dan sombong agar kita terhindar daripadanya. Barangkali sudah banyak yang telah ditulis oleh para ilmuan agama, pakar psikologi dan sebagainya tentang hal ini, sama ada sebagai satu tarbiyah agama mahupun sebagai kajian ilmiah untuk pemahaman umum.

Penulis tidak bercadang untuk mendalaminya dari sudut ilmiah tetapi sekadar menyelaminya daripada perspekstif agama yang mudah difahami semua.

Erti riak dan sombong

Kita semua tahu apa itu yang dimaksudkan dengan riak dan sombong. Sombong juga dikenali sebagai takbur. Ia merupakan istilah yang sering diguna dan disebut berhubung dengan sikap dan pe'el manusia.

Kita juga tahu ia dianggap sebagai penyakit hati yang tidak senang diubati kerana kesan-kesannya tidak kita rasai secara fizikal dalam tubuh badan kita. Tambah lagi jika kita tidak atau jarang sekali bermuhasabah diri.

ALLAH SWT berfirman: "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah Luqman 31:18)

Menurut Rasulullah SAW, ada tiga penyakit yang akan menghancurkan amalan seseorang, antaranya ialah riak atau sombong. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin berkata, sifat takbur akan menjadi batas pemisah antara seseorang dengan kemuliaan akhlak. Orang takbur akan selalu mendustakan kebenaran, menganggap rendah orang lain dan meninggikan dirinya.

Mengapa manusia menjadi riak dan sombong?

Artikel Berkaitan:

Dosa dan kesalahan pertama yang dilakukan oleh makhluk terhadap ALLAH ialah sifat sombong. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS sewaktu ALLAH memerintahkannya. Iblis merasakan dirinya besar lantaran merasakan dirinya lebih utama dan lebih mulia daripada Nabi Adam AS kerana kejadiannya daripada api sedangkan Nabi Adam AS daripada tanah.

Peristiwa kesombongan iblis ALLAH ceritakan dalam Al-Quran, firman-Nya: “Dan (ingatlah) ketika Kami memerintahkan kepada malaikat: ‘Sujudlah kepada Ada.’ Dia (Iblis) enggan dan membesarkan dirinya. Maka sesungguhnya dia adalah dari golongan musyrik.” (Surah Al-Baqarah 2:34)

Manusia juga tidak terlepas daripada perasaan bahawa diri mereka adalah lebih utama dan lebih hebat daripada orang lain. Ramai dalam kalangan kita dan mungkin juga termasuk diri kita yang riak dan sombong kerana merasakan diri kita ini lebih hebat daripada orang lain. Al-Quran banyak menyebut tentang riak dan sombong khususnya sebagai sifat yang keji. Sifat ini amat ketara pada kaum Bani Israel.

Antara sifat-sifat yang disebut tentang kaum Bani Israel ialah suka mengadu domba dan menyalakan api pertikaian.

ALLAH berfirman: “Setiap mereka menyalakan api peperangan Allah memadamkannya.” (Surah Al-Ma’idah: 64)

Mereka juga tamak dan haloba. "Dan sungguh kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling haloba kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih haloba lagi) daripada orang-orang musyrik. masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, Padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada siksa. ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al-Baqarah: 96)

Mereka juga dikatakan suka mengkhianat dan penuh dengan tipu muslihat. Mereka menganggap diri mereka adalah kaum pilihan ALLAH. Sehingga mereka selalu mencetus masalah, merencanakan bagaimana agar dunia ini hanya dikuasai oleh orang-orang Yahudi.

Kita dapati pula bahawa bangsa yang paling mudah melanggar janji adalah bangsa Yahudi. Bahkan perjanjian terhadap para nabi pun mereka berani melanggarnya. ALLAH berfirman: “Sesungguhnya Kami telah mengambil perjanjian daripada Bani Israel, dan telah Kami utus kepada mereka rasul-rasul. Tetapi setiap datang seorang rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka, (maka) sebagian daripada rasul-rasul itu mereka dustakan dan sebahagian yang lain mereka bunuh.” ( Surah Al-Maidah: 70). Bangsa Yahudi juga dikenali sebagai pemakan riba. Kecintaan terhadap dunia menghilangkan rasa belas kasih dalam hati mereka. Mereka memanfaatkan penderitaan orang lain demi mengaut keuntungan peribadi.

Dalam konteks subjek yang kita sedang bincang, bangsa Yahudi amat terkenal dengan sifat takbur, angkuh dan sombong mereka.

Bongkak, busuk hati, dan rasis adalah sifat yang melekat pada diri bani Israel. Menganggap diri mereka sebagai manusia pilihan, sedangkan yang lain hanyalah pelayan bagi keperluan mereka. ALLAH berfirman: “Katakanlah, “Hai orang-orang yang menganut agama Yahudi, jika kamu mendakwakan bahwa sesungguhnya kamu sajalah kekasih Allah bukan manusia-manusia yang lain, maka harapkanlah kematianmu, jika kamu adalah orang-orang yang benar.” (Surah Al-Jumu’ah: 6)

Menjadi kewajipan kita sebagai mukmin untuk memahami dan menghayati sifat-sifat keji tersebut. Sekaligus membuat kita berhati-hati dan berwaspada agar kita tidak terikut dengan pe'el dan perangai tersebut.

Sifat riak orang berilmu dan pemimpin yang berkuasa

Kita lihat ramai cerdik pandai dalam kalangan kita dan pemimpin-peminpin yang berkuasa yang membawa dan mempamerkan sikap riak dan sombong. Mereka menjadi riak dan sombong kerana mempunyai kelebihan daripada orang lain, sama ada mempunyai kuasa sebagai penjawat awam atau memegang jawatan tertentu, mempunyai ilmu pengetahuan sama ada pengetahuan tentang dunia atau pengetahuan tentang akhirat, mempunyai harta kekayaan, mempunyai kegagahan fizikal atau keturunan yang baik.

Kelebihan dianugerah Tuhan tidak mereka syukuri dengan perasaan syukur dan tawaduk tetapi membuat mereka menjadi riak dan sombong.

Antara ciri-ciri riak dan sombong yang ada pada diri mereka ialah:

* Sukar menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang itu lebih baik daripadanya. Apatah lagi kalau pandangan itu datang daripada orang yang lebih rendah daripadanya sama ada rendah umur, pangkat atau lain-lain lagi;

* Mudah marah atau emosional. Apabila berlaku perbincangan dua hala, mereka cepat tersinggung atau cepat naik darah kalau ada orang tersilap atau tersalah; memilih kawan. Suka berkawan hanya dengan orang yang sama taraf dengannya;

* Memandang hina pada golongan bawahan. Dalam perbahasan atau perbincangan, selalunya dia suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan; * Dalam pergaulan dia suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan diikuti. Sebaliknya di pihaknya sendiri, susah untuk mendengar cakap atau nasihat orang lain serta tidak prihatin dengan cakap orang. Apatah lagi untuk mengikut cakap orang lain;

* Dalam pergaulannya, dia saja yang menguasai perbincangan dan tidak suka memberi peluang kepada orang lain bercakap. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong percakapan orang itu;

* Kalau jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikut-pengikutnya atau orang bawahannya. Ia membuat arahan tanpa timbang rasa dan tidak ada perikemanusiaan. Kalau dia menjadi pengikut, susah pula untuk patuh pada pemimpinnya; susah hendak memberi kemaafan kepada orang yang tersilap dengannya. Bahkan ditengking-tengking, diherdik, dikata-kata atau dihina-hina. Di belakangnya diumpat-umpat;

* Kalau dia yang bersalah, susah dan berat hendak minta maaf. Rasa jatuh wibawa apabila merendah diri meminta maaf. Bahkan dia tidak mengaku bersalah;

* Dia suka dihormati. Tersinggung kalau tidak dihormati tetapi dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang lain;

* Mudah berdendam dengan orang lain terutamanya apabila orang itu tersilap.

Mari kita bermuhasabah dan memperbaiki diri. Kita perlu insaf dan akui bahawa kita manusia yang amat daif dan lemah. Segala kehebatan dan kelebihan yang ada pada diri kita adalah anugerah daripada-Nya dan bisa ditarik balik bila-bila masa sahaja.

Kun fayakun! Kita bisa ditimpa sakit atau jatuh daripada kedudukan yang tinggi dengan lebih tepat istidraj boleh berlaku bila-bila masa. Sudah banyak contoh yang berlaku di depan mata kita untuk menjadi teladan kepada kita semua.

Marilah kita membina hidup di atas jalan sirotul- mustaqim agar kita selamat di dunia dan di akhirat.Insya-ALLAH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!