Dua lori nombor pendaftaran sama disita JPJ

Anggota JPJ menunjukkan dua lori yang mempunyai nombor plat sama dikesan ketika operasi Khas Kenderaan Cameron Highlands pada Khamis.
Anggota JPJ menunjukkan dua lori yang mempunyai nombor plat sama dikesan ketika operasi Khas Kenderaan Cameron Highlands pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Dua buah lori yang dipandu dua warga asing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana mempunyai nombor pendaftaran sama selepas diperiksa dalam satu operasi Khas Kenderaan Cameron Highlands pada Khamis.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, pemeriksaan lanjut terhadap mendapati kedua-dua kenderaan itu menggunakan tanda badan milik syarikat yang sama.

Menurutnya, dua pemandu berkenaan didapati tidak memiliki lesen memandu dan disaman di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Keadah-kaedah Pengangkutan Jalan.

"Manakala dua lori terbabit disita untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Operasi Khas Kenderaan Cameron Highlands itu diketuai Ketua Seksyen Operasi, Ahmad Zaki Yamani Bidin yang turut disertai JPJ Ipoh, Perak dengan kekuatan anggota seramai empat pegawai dan 21 anggota.

Kamarul Iskandar memaklumkan sebanyak 275 notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan ke atas 147 kenderaan lain dalam operasi yang sama.

Beliau menegaskan, JPJ akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pemandu warga asing.

Katanya, tindakan lebih tegas akan diambil ke atas syarikat yang membenarkan kenderaan milik mereka dipandu warga asing.

“Tindakan juga boleh diambil terhadap pemilik kenderaan, bagi kenderaan yang disita pemilik kenderaan sendiri perlu hadir ke JPJ,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!