Pakat mari ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kota Bharu, Kelantan

A
A
A

No Image Caption

Rakyat Kelantan diajak memeriahkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) bagi edisi ke-6 yang akan berlangsung selama tiga hari di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, Kelantan bermula hari ini hingga Ahad.

Program kali ini yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) bersama Kerajaan Negeri Kelantan itu, turut melibatkan 26 buah kementerian dengan pelbagai aktiviti dan tawaran menarik disediakan kepada pengunjung pada jam 9 pagi hingga 9 malam.

Antara yang bakal menjadi tumpuan ialah Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah.

Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dijangka akan menarik pencari kerja dalam kalangan rakyat negeri Kelantan untuk mengisi sebanyak 3,926 kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh 28 majikan.

Antara majikan yang turut serta ialah Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC), Maybank, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat dari pelbagai sektor.

Pengunjung boleh mendaftar dan melengkapkan profil di Portal MYFutureJobs bagi membantu membuat padanan pekerjaan bersesuaian dengan profil masing-masing. Pencari kerja yang hadir boleh memohon pekerjaan secara terus untuk ditemu duga oleh pihak majikan.

Bertemakan Keluarga Malaysia Keluarga Digital, JAKM edisi Kelantan ini bertepatan dengan hasrat kerajaan membawa negara ke arah pendigitalan sejajar dengan perkhidmatan rangkaian 5G yang bakal dinikmati rakyat secara berperingkat selewatlewatnya September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan merasmikan Hab Digital Ketereh dan 5G pada Sabtu sempena JAKM ini.

Bagi menyahut seruan Keluarga Malaysia Keluarga Digital, rakyat Kelantan boleh turut menyertai Karnival Digital K-KOMM dan program pemberian percuma domain perniagaan biz.my.

Antara tarikan lain menanti para pengunjung di JAKM ini ialah Sukan Rakyat, e-Sukan dan Fun Ride.

REBUT PELUANG

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkeyakinan, pelbagai pengisian dan program yang mengetengahkan seni serta budaya negeri Kelantan ini mampu menarik kunjungan pelbagai lapisan masyarakat.

“Program sebegini akan lebih bermakna dan memberi kefahaman kepada rakyat mengenai konsep yang diketengahkan dan bertepatan dengan prinsip Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran kepada semua pihak agar berganding bahu menangani situasi yang kian mencabar ini,” katanya ketika ditemu bual dalam segmen: Apo Khabar Oghe Kelate di saluran KELANTANfm pada Khamis.

TAN SRI ANNUAR MUSA
TAN SRI ANNUAR MUSA



Menurutnya, JAKM yang sudah menjelajah ke Johor, Perlis, Sabah, Terengganu dan Perak sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyumbang kepada rakyat melalui penganjuran program yang fokus kepada kemudahan perkhidmatan secara langsung sekali gus memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

“Pelbagai program akan diadakan sepanjang JAKM seperti memperkenalkan kepada rakyat mengenai ekonomi digital dan kini Kelantan dilihat sedang bersiap untuk memasuki era ekonomi digital.

“Saya harap orang ramai khususnya penduduk di Kelantan hadir ke JAKM ini kerana ia adalah program yang terbaik dan boleh dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Perkhidmatan ‘shuttle bus’ percuma disediakan sepanjang tiga hari di kawasan parkir Pejabat Kebudayaan Kelantan, Masjid Kubang Kerian, RTC Tunjong dan di Dataran Lembah Sireh (Lotus’s).

Untuk maklumat lanjut berkenaan JAKM edisi ke-6, sila layari laman media sosial rasmi Keluarga Malaysia.

AKTIVITI UTAMA K-KOMM:

- Bicara Ulama Nusantara: Menampilkan tokoh dari Malaysia iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud & tokoh dari Thailand, Baba Ghazali Ahmad dari Pondok Sekam Patani.

- Bekwoh Keluarga Malaysia: Gotong-royong kenduri kampung yang bakal dihadiri oleh Perdana Menteri dan penduduk setempat.

- Karnival Digital K-KOMM@JAKM: Tawaran produk dan pakej telekomunikasi termasuk CyberSAFE Quest (treasure hunt) untuk pelajar sekolah menengah.

- RIUH x JAKM Kelantan: Persembahan, gerai jualan, bengkel dan pertandingan kesenian tradisional serta seni kraf tempatan.

- Pertandingan Muay Thai (International Muay Thai Fight 2022): Merebut ‘tali pinggang’ Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Penasihat Muay Thai Malaysia disertai Malaysia, Thailand, Myanmar, Afghanistan dan Algeria.

- Konsert Minggu Ini @ Malam Seni: Gandingan artis Datuk DJ Dave, Datuk Ramli Sarip, Kopratasa, Hijjaz serta pengacara Izzue Islam.

- Temu mesra (Meet & Greet): Bersama artis seperti Alif Karimi, Ellie Suriaty, Sabri Yunus dan barisan pelakon Pokya Cong Codey.

- Pertandingan Bintang Patriotik: Mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang nyanyian terutama lagu-lagu patriotik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!