Selangor peruntuk RM12 juta setahun baiki kemudahan rumah berstrata
DENGKIL - Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan hampir RM12 juta setiap tahun untuk kerja-kerja membaiki dan baik pulih kemudahan perumahan berstrata di negeri ini.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, peruntukan tersebut digunakan menerusi Skim Ceria Selangor untuk membaiki kemudahan perumahan berkenaan seperti baik pulih tangki air, taman riadah dan lain-lain.
Bagaimanapun katanya, peruntukan tersebut masih belum mencukupi kerana kerja-kerja pembaikan kemudahan rumah berstrata sedia bergerak seiring dengan pembangunan unit baharu rumah berkenaan di Selangor.
"Selangor perlukan satu pendekatan yang lebih luas disebabkan kepesatan pembangunan itu, seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini, yang mana hampir 120,000 unit bangunan berstrata baharu tidak termasuk yang lama telah diluluskan.
"Jadi kita perlukan keseimbangan antara (perumahan berstrata) yang lama dan baharu," katanya selepas Program Perasmian Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor (SDG 11) di Pangsapuri Ruvena Villa, Taman Putra Perdana pada Jumaat.
Dalam pada itu, Rodziah berkata, kerajaan Selangor akan melihat semula tapak-tapak pembangunan yang terbiar atau terbengkalai untuk dibangunkan semula menerusi Jawatankuasa Perancangan Negeri (JPN) Selangor.
Ujarnya, beberapa lokasi akan disenarai pendek dan dicadangkan kepada kerajaan Selangor untuk rancangan pembangunan semula kawasan berkenaan.
"Kemungkinan besar kita akan lihat semula pembangunan yang ada ini kerana projek baharu tidak semestinya di tapak baharu.
"Maknanya tapak lama dan tidak digunakan itu akan dibangunkan semula, daripada ia terbiar dan ditinggalkan usang, elok kita fikirkan pembangunan semula tempat tersebut.
"Tapi belum ada satu pun projek yang dapat kita laksanakan di bawah rancangan pembangunan semula ini. Jadi saya akan cadangkan beberapa tempat kepada kerajaan Selangor," katanya.
Turut hadir ke majlis perasmian tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain.
Dalam pada itu, Abd Hamid berkata, kira-kira RM140,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja pembaikan taman riadah di sini yang mengambil masa empat bulan hingga selesai dilaksanakan.
"MPSepang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan kerja menaiktaraf atau membaiki kemudahan pangsapuri ini.
"Jika kita lihat dalam kawasan perumahan berstrata (seperti ini), mereka berpeluang untuk mendapat peruntukan daripada kerajaan Selangor melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
"Jadi MPSepang akan sentiasa membantu dari segi pelaksanaan projek-projek berkaitan mengikut peruntukan yang telah diluluskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!