MP Warisan tak puas hati taklimat tertutup isu tuntutan Sulu

Mohd Azis (kanan) dan Isnaraissah Munirah (depan kiri) ketika ditemui pemberita di KKIA, Kota Kinabalu pada Jumaat.
Mohd Azis (kanan) dan Isnaraissah Munirah (depan kiri) ketika ditemui pemberita di KKIA, Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen (MP) Parti Warisan (Warisan) tidak berpuas hati dengan taklimat yang diberikan menerusi perjumpaan tertutup berhubung isu tuntutan waris kesultanan Sulu yang dilakukan pada Khamis malam.

Susulan daripada taklimat itu, ahli Parlimen Warisan sekali lagi menggesa supaya isu itu dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat walaupun selepas usul ditolak sebelum ini.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, banyak persoalan yang disuarakan dalam perjumpaan itu mengenai isu berkenaaan namun ia masih tidak dijawab oleh pihak kerajaan.

"Kami masih berpandangan bahawa perlu ada perdebatan dan perbahasan dalam Parlimen walaupun sudah mendengar taklimat semalam (Khamis).

"Secara jujur kami tidak puas hati sebab banyak persoalan kita suarakan tidak dijawab tetapi mungkin disebabkan faktor masa. Sebab itu perlu ada perbahasan dan sebagai ahli Parlimen, saya ingin menyatakan kepada kerajaan bahawa kami tahu had kami.

"Kita tidak akan mungkin menyuarakan atau membahaskan sesuatu perkara yang boleh menganggu gugat strategi kita untuk melawan waris kesultanan Sulu ini," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, pada Jumaat.

Mohd Azis turut berkata, pertemuan itu hanya berkaitan rentetan peristiwa tuntutan waris kesultanan Sulu dan ia bukan sesuatu yang rahsia.

"Malah Sulu pun sudah tahu dari segi rentetan sejarahnya, sebab itu kita inginkan perbahasan dilakukan kerana kalau Parlimen di Filipina mereka terang-terangan menyuarakan bahawa mereka akan menuntut Sabah kerana itu sebahagian dari wilayah mereka.

"Jadi kami suarakan semalam kalau Filipina secara terbuka menyuarakan perkara ini seolah-oleh mereka tidak menghormati kedaulatan negara kita. Sebab apa Parlimen Malaysia terasa bacul, apa sebab kerajaan Malaysia bacul dalam usaha mempertahankan (kedaulatan negara)," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berharap ada reaksi positif daripada kerajaan menerusi pertemuan yang diadakan itu.

"Saya rasa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presien Warisan) malam tadi pun ada bagi sedikit pandangan untuk kita harus bahaskan. Saya harap kerajaan menerimanya untuk kita bahaskan isu keselamatan ini," katanya.

Sebelum itu, satu taklimat tertutup telah berlangsung pada Khamis malam di sebuah hotel di ibu negara yang dihadiri oleh ahli Parlimen; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan beberapa barisan menteri kabinet yang lain. at

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!