Jururawat dijel enam tahun sebabkan bayi baru lahir jatuh
BUSAN - Seorang jururawat dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada Jumaat atas kesalahan menjatuhkan seorang bayi baru lahir pada 2019, yang mengakibatkan kerosakan kekal pada otak.
Mahkamah Daerah Busan mendapati jururawat itu, yang identitinya dirahsiakan, bersalah kerana cuai ketika menjalankan tugas sehingga menyebabkan kecederaan kepada bayi perempuan berusia lima hari.
Kejadian berlaku di unit neonatal sebuah hospital di Busan, menurut Agensi Berita Yonhap.
Kemarahan orang ramai tercetus selepas rakaman kamera pengawasan menunjukkan jururawat itu secara fizikal mendera sejumlah 14 bayi baru lahir, termasuk bayi perempuan itu, dengan menggoncang dan memegang secara terbalik dan menjatuhkan mereka.
Jururawat itu juga didapati bersalah mendera kanak-kanak.
"Rakaman menunjukkan defendan memegang bayi yang baru lahir itu dalam keadaan terbalik, mengakibatkan bayi itu jatuh terlentang," menurut mahkamah.
Bukti turut menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan semasa jururawat itu bertugas.
Berikutan keputusan itu, jururawat tersebut yang sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin telah dipenjarakan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!