Lori tangki rempuh tiga kenderaan
TAPAH - Seorang pemandu kereta cedera di kepala manakala tiga yang lain terselamat dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 336.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lori tangki muatan simen yang dipandu lelaki berusia 28 tahun telah memasuki laluan bertentangan hingga menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan yang dipandu di lorong kiri telah melanggar pacuan empat roda Toyota Hilux.
"Keadaan itu menyebabkan kenderaan berkenaan menggelongsor ke depan lalu melanggar belakang kereta mewah jenis Audi.
"Pada masa sama, kenderaan berat itu yang disyaki hilang kawalan telah melanggar penghadang di tengah lebuh raya lalu masuk ke lorong bertentangan (arah utara).
"Lori terbabit turut melanggar belakang kereta jenis Toyota Yaris yang dipandu seorang wanita sebelum terbabas memasuki longkang," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada lori yang dipandu laju hingga menyebabkan hilang kawalan.
"Ujian urin mendapati pemandu lori terbabit negatif dadah dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!