Arab Saudi tahan lelaki bantu wartawan Israel masuk Makkah
RIYADH - Pihak berkuasa Arab Saudi pada Jumaat menahan seorang lelaki tempatan yang didakwa membantu menyeludup masuk wartawan Israel ke tanah suci Makkah.
Polis wilayah Makkah dalam satu kenyataan menyebut, lelaki berkenaan didakwa bersubahat selain memaklumkan wartawan Israel yang juga memegang kerakyatan Amerika Syarikat (AS) itu telah dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan undang-undang.
Pada Isnin lalu, wartawan saluran media Channel 13 Israel, Gil Tamary menyiarkan video memaparkan dia menyeludup masuk ke Makkah yang diharamkan kepada orang bukan Islam.
Tindakannya mencetuskan kemarahan di media sosial manakala Menteri Kerjasama Serantau Israel, Esawi Freij menganggap perbuatan Tamary sebagai bodoh dan berbahaya.
Tidak lama selepas itu, Tamary mengemukakan permohonan maaf kerana menyinggung perasaan umat Islam.
Wartawan itu menaiki kereta di tepi Masjidil Haram di Makkah dan mendaki Jabal Rahmah iaitu tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya kira-kira 14 abad yang lalu.
Ditemani individu yang kelihatan seperti pemandu pelancong tempatan dengan wajahnya dikaburkan, Tamary turut bercakap dengan nada perlahan dalam bahasa Ibrani dan ada kala beralih kepada bahasa Inggeris untuk mengelak dikesan sebagai warga Israel.
Kontroversi itu berlaku selepas misi kunjungan Presiden AS, Joe Biden ke Asia Barat minggu lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!