Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat. - Foto 123RF
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat walaupun Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.4 peratus kepada 127.4 pada bulan lepas berbanding 123.2 dari tahun sebelumnya, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan menokok kepada 4.4515/4545 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4575/4590 yang dicatatkan semasa Khamis.

Sebelum itu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan bahawa inflasi makanan melonjak sebanyak 6.1 peratus, kekal sebagai penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada Jun 2022.

Menurut rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, biasanya inflasi akan menjejaskan ekonomi dan ringgit berkemungkinan akan melemah sedikit.

"Ekonomi kini dilanda inflasi harga makanan yang lebih tinggi yang menyebabkan pendapatan boleh guna yang kurang bagi kebanyakan orang untuk berbelanja ke atas barangan berharga mahal. Kenaikan inflasi akan menjadi seretan jangka pendek kepada ekonomi," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2011/2038 daripada 3.1960/1976 yang direkodkan pada Khamis dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.2389/2413 daripada 3.2128/2142.

Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3187/3222 daripada 5.3236/3254 dan naik berbanding euro kepada 4.5201/5231 daripada 4.5386/5402. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!