'Segala dakwaan tidak tepat, berunsur fitnah' - Arcadin Services
SYARIKAT yang mentadbir urus Kompleks Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Arcadin Services Sdn Bhd membuat laporan polis berhubung dakwaan yang dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad pada 13 Julai lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Arcadin, Afizal Abu Othman berkata, segala dakwaan yang dilemparkan dalam sidang media tersebut berhubung isu penyelenggaraan di stadium berkenaan tidak tepat dan berunsur fitnah.
“Pada 13 Julai 2022 jam 10 pagi, berlangsung satu sidang media yang dibuat oleh Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad; Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard dan Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa di Tingkat 1, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
“Sidang media berkenaan juga telah memberikan laporan yang salah kepada pihak media bagi memberikan tanggapan buruk ke atas pentadbiran Arcadin dalam pengurusan stadium.
“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat pada 13 Julai 2022 atas tuduhan-tuduhan tersebut dan pihak Arcadin menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.
Dalam sidang media berkenaan, Khalid dilaporkan menggesa supaya stadium terbabit diserahkan kembali kepada pihak berkepentingan seperti KLFA ataupun KL City FC sendiri.
Ia susulan Khalid melihat pihak yang dipertanggungjawab untuk menguruskan stadium tersebut gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik.
Untuk rekod, Arcadin merupakan syarikat pentadbir urus Kompleks Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang bertanggungjawab atas pengurusan dan penyelenggaraan aset dan kemudahan kompleks dan padang bola sepak itu sejak Julai 2021.
Pihak Arcadin juga telah mendapatkan hak pengursuan bagi Kompleks Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan matlamat untuk menyediakan kemudahan-kemudahan stadium yang terbaik untuk pengguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!