Tingkatkan penglibatan wanita dalam pertanian agroekologi
KAJANG - Penglibatan golongan wanita dalam bidang pertanian khususnya agroekologi perlu dipertingkatkan sebagai usaha mendepani krisis keselamatan makanan negara.
Naib Presiden Persatuan Kesaksamaan Wanita (WEA) Kuala Lumpur dan Selangor, Dr Anizan Isahak berkata, wanita di Malaysia ketika ini hanya memainkan peranan kecil dalam menyelesaikan isu keselamatan makanan.
Menurutnya, wanita dipinggirkan dalam bidang tersebut disebabkan peralihan ke arah pertanian berskala besar dan monokultur.
“Mereka sebenarnya berminat untuk turut serta dalam pertanian, tetapi terhalang dek beberapa kekangan termasuk tuntutan kerja dan keluarga.
“Misalnya, jika kita panggil datang ke seminar, ramai yang terpaksa menolak disebabkan beberapa kekangan.
“Tetapi, apabila kita guna alternatif pergi ke kawasan mereka, ternyata ia mendapat sambutan kerana lebih mudah untuk mereka, maknanya ada pendekatan tertentu yang perlu dilakukan untuk mengajak golongan ini menyertai aktiviti pertanian,” katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.
Beliau yang juga Bendahari Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas) berkata, pihaknya mengambil pendekatan pelbagai serampang untuk melibatkan komuniti terutamanya golongan wanita dalam pertanian.
Menurutnya, hasil projek ‘Meningkatkan Penyertaan Wanita dalam Pertanian Bersepadu Semula Jadi di Malaysia’ yang dijalankan selama dua tahun bermula 2020 di Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor dan Wakaf Aik, Kota Baru, Kelantan turut membuktikan minat golongan itu terhadap pertanian agroekologi.
“Wanita yang terlibat dalam projek ini kini menghargai sokongan yang diperolehi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sekitar bagi memupuk minat, terutamanya dalam pertanian bersepadu semula jadi.
“Mereka belajar mengitar semula sisa ladang, bercucuk tanam menggunakan kaedah semula jadi, mengintegrasikan aktiviti ternakan dan tanaman, menghasilkan produk hiliran daripada tanaman serta pemasaran,” ujarnya.
Jelas beliau, pihaknya turut aktif membuat penglibatan berterusan dengan penggubal dasar bagi meningkatkan kesedaran tentang agroekologi dan penglibatan wanita dalam pertanian.
Tambahnya, pada 5 April lalu, mereka telah menghantar memorandum berkaitan isu keselamatan makanan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
“Susulan itu, pada 27 Jun MAFI telah memanggil beberapa wakil NGO termasuk SRI-Mas dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) untuk membincangkannya secara bersama.
“Selain MAFI, kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga penting untuk menjayakan usaha ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!