‘Abah bak bapa kandung’
PUTRAJAYA - Seorang penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang rebah dalam perbarisan sempena Hari Penguat Kuasa menjelaskan, susuk tubuh tua yang mengangkat dan memeluknya di tengah-tengah padang kawad itu merupakan bapa saudaranya.
Namun, Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi berkata, bapa saudaranya, Abdul Aziz Ya’acob yang bekerja sebagai pemandu teksi sudah dianggap sebagai bapa kandung.
“Abah, bapa saudara saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelasnya, dia merupakan anak yatim piatu dan dijaga oleh Abdul Aziz dan ibu saudara, Rosmawati Ismail, 53, yang dipanggil emak, sejak usia tiga bulan.
“Emak kandung saya meninggal dunia ketika saya berusia tiga bulan manakala ayah meninggal sewaktu saya berumur tujuh tahun,” katanya.
Menurut Nik Mohamad Adhar, meskipun berstatus anak saudara, layanan Abdul Aziz, 60, tidak pernah berbeza dengan enam anaknya yang lain.
“Dari kecil sampai sekarang, layanannya sama seperti anak sendiri,” ujarnya.
Menceritakan detik-detik ketika rebah semasa perbarisan itu, Nik Mohamad Adhar, 22, berkata, dia sebenarnya kurang sihat.
“Semasa abah datang meluru itu, itu kali kedua saya rebah.
“Kali pertama saya masih boleh bangun dan kedua, abah datang,” tuturnya.
Nik Mohamad Adhar yang berasal dari Tumpat, Kelantan dan bertugas di Tawau, Sabah berkata, dia demam sejak tiga hari lalu.
“Pagi tadi pun saya masih demam,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik pada Khamis.
Momen abah Nik Mohamad Adhar yang mengangkat dan memeluknya di Maktab Penjara Kajang itu sempat dirakam jurugambar dan dimuat naik di Facebook Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menyifatkan gambar-gambar tersebut memaparkan kasih sayang seorang bapa yang tidak berbelah bahagi, Alexander berkata, beliau tidak mampu menahan air mata melihat apa yang berlaku di depan matanya.
“Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu.
“Sehingga terlucut selipar yang disarung, asalkan beliau berada di sisi,” kata Alexander.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!