Adrenalin dikejar lembu
MADRID - Larian lembu tradisi paling disukai warga Sepanyol, Festival San Fermin kembali dianjurkan selepas dua tahun menyepi akibat pandemik Covid-19.
Acara selama tujuh hari dari 7 hingga 14 Julai itu bermula dengan pertunjukan roket tradisi ‘chupinazo’ di balkoni bangunan Majlis Perbandaran ketika pengunjung membanjiri Pamplona di utara Navara.
Bandar tersebut merupakan tapak Festival San Fermin yang dianggarkan berusia lebih 700 tahun.
Ratusan peserta berpakaian serba putih dan skarf berwarna merah yang diikat di leher berkumpul di Plaza de Ayuntamiento seawal jam 8 pagi (waktu tempatan).
Selepas tembakan mercun pertama, lapan ekor lembu laga jantan seberat setengah tan dari ladang Miura dilepaskan ke arah peserta yang berhimpun di kawasan lorong sempit.
Peserta perlu mengelak daripada dirempuh atau dirodok lembu laga tersebut yang berlari di laluan sempit sejauh 850 meter.
Namun, acara pada hari pertama festival menyaksikan seorang peserta cedera pada kaki, manakala seorang lelaki terjatuh dan mengalami lebam pada kepala akibat keadaan jalan agak licin.
Pun begitu, keseluruhan peserta gembira apabila menyifatkan larian tersebut penuh adrenalin dan keseronokan.
Festival San Fermin menyebabkan ramai mangsa cedera setiap tahun.
Pada 2017, terdapat lebih 17,000 peserta dan 64 daripada mereka cedera termasuk tujuh mangsa dirodok tanduk lembu.
Sejak 1910, hanya 16 peserta larian itu maut dengan kes kematian terakhir berlaku pada hari penutup festival pada minggu lalu.
Kes kematian itu membabitkan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 50 dan 46 tahun serta seorang pelancong warga Perancis berusia 60 tahun. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!