Tenaga import tingkat kualiti anak tempatan

Arif Aiman (kanan) antara pemain muda tempatan yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia. -Foto Bernama
Arif Aiman (kanan) antara pemain muda tempatan yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia. -Foto Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan kelab Liga Super mendaftar sehingga sembilan pemain import mulai musim depan dilihat mampu membantu meningkatkan kualiti permainan pemain tempatan.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, penambahan kuota pemain import itu dilihat akan melahirkan persaingan sihat dalam kalangan pemain tempatan untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Bagi saya, sekiranya kalau pemain import itu bagus dan perangainya juga bagus... pemain-pemain tempatan terutamanya yang muda sudah tentu dapat belajar banyak perkara dengan mereka.

“Sebagai contoh, kita boleh lihat pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman (Hanapi). Dia contoh terbaik bagaimana dengan adanya pemain import berkualiti dalam JDT, ia dapat membantu kepada perkembangan kariernya.

“Saya juga melihat ia juga akan melahirkan persaingan sihat antara pemain tempatan dan import. Mungkin dengan adanya lebih ramai pemain import, mereka akan berusaha dengan lebih keras

“Sebelum ini saya lihat ada pemain (tempatan) yang seperti sudah berasa selesa. Jadi saya harap selepas ini, pemain-pemain tempatan menunjukkan komitmen lebih untuk bersaing dengan import,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada Rabu, MFL memaklumkan kesemua kelab Liga Super boleh mendaftarkan sehingga sembilan pemain import mulai musim depan selepas badan pengelola Liga-M itu membuat penstrukturan liga domestik.

Namun, MFL hanya membenarkan lima pemain import termasuk satu import Asia dan satu dari ASEAN beraksi pada satu masa dengan hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan.

Dalam pada itu, Mohd Azraai turut mengingatkan setiap kelab Liga Super berbelanja mengikut kemampuan masing-masing sekalipun dibenarkan mendaftar sembilan pemain import.

“Memang betul ia akan bagi impak positif kepada pemain kita, namun ia akan jadi masalah lain pula sekiranya kelab itu ambil banyak pemain import tapi gagal membayar gaji mereka.

“Nanti akhirnya bukan impak positif yang liga kita dapat, tapi cuma memalukan nama liga kita di mata dunia kerana terus terpalit dengan isu pembayaran gaji,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!