'Hanya pemeriksaan rutin senjata api, peluru dari Singapura'
JOHOR BAHRU - Tiada sebarang isu berkenaan proses membawa keluar senjata api, peluru dan peralatan dari Singapura ke negara ini yang dilakukan pasukan keselamatan pada Khamis, sebaliknya itu merupakan pemeriksaan rutin di Kompleks B, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemeriksaan dibuat antara jam 2.30 hingga 4.30 petang oleh sepasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Pelesenan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Beliau menjelaskan, pemeriksaan antaranya dibuat ke atas sebuah treler dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di bangunan berkenaan.
"Pemeriksaan tersebut adalah pemeriksaan rutin bagi setiap senjata, amunisi atau peralatan berkaitan senjata api, sebagaimana surat kelulusan lesen interim oleh Ketua Polis Negara.
"Ia diperiksa bagi tujuan kelepasan oleh Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) selepas latihan ketenteraan selesai bersama pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sejak Khamis tular dalam media sosial rekod suara seorang lelaki berdurasi 18 saat yang memaklumkan ada pihak membawa senjata api dari Singapura ke Malaysia di Tambak Johor.
Rakaman suara itu turut tular bersama beberapa keping gambar pemeriksaan senjata api oleh PDRM dan KDRM sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.
Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang isu yang tular dengan menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut.
"Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih.
"Tindakan pencegahan jenayah secara agresif akan diteruskan di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!