TYT harap Pulau Pinang ambil iktibar modenkan pertanian

Tun Ahmad Fuzi (dua dari kiri) menyampaikan ucapan pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan negeri sempena sambutan Hari Ulang Tahun Ke-73 pada Sabtu. - Foto Bernama
Tun Ahmad Fuzi (dua dari kiri) menyampaikan ucapan pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan negeri sempena sambutan Hari Ulang Tahun Ke-73 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak mahu kerajaan Pulau Pinang ambil iktibar dari negara-negara lain yang berjaya memodenkan bidang pertanian negeri dalam usaha meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan negara.

"Dalam kita melangkah ke era teknologi revolusi perindustrian keempat, amalan pertanian harus dimodenkan agar pengeluaran dan pendapatan para peladang dan petani dapat ditingkatkan selaras dengan kemajuan teknologi dan peredaran zaman," katanya dalam ucapan Hari Pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri 2022 di Dewan Sri Pinang pada Sabtu.

Beliau berkata, usaha sewajarnya perlu dipertingkat bagi menarik generasi muda usahawan tani untuk menyumbang kepada nilai tambah pertanian serta membolehkan Pulau Pinang menyumbang ke arah meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan negara.

Selain itu, pelbagai agensi penyelidikan kerajaan serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta perlu bekerjasama untuk memajukan sektor berkenaan.

"Antara kaedah dapat dilaksanakan adalah penggunaan varieti tanaman yang mengeluarkan hasil tinggi dalam tempoh masa singkat, penggunaan input pertanian menggalakkan pertumbuhan dan aplikasi teknologi moden tidak menggunakan tanah sebagai media tanaman," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh pemulihan ekonomi ini, Pulau Pinang diuji pula dengan pelbagai cabaran termasuk gangguan rantaian bekalan melibatkan tenaga kerja serta bekalan cip semikonduktor.

"Cabaran-cabaran ini sebenarnya dihadapi di seluruh dunia.

Saya yakin, dengan asas-asas ketahanan dibina selama ini, jalinan rangkaian infrastruktur dan industri yang kukuh serta kerjasama awam-swasta, cabaran pemulihan ekonomi dihadapi dapat diatasi bersama," katanya.

Selain itu, Ahmad Fuzi turut menasihati semua rakyat yang belum mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 untuk berbuat demikian dengan segera supaya mendapat perlindungan daripada virus berbahaya tersebut.

"Kita hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga kerana pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

Rakyat yang belum dapat suntikan dos penggalak vaksin adalah dinasihatkan untuk berbuat demikian dengan segera," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!