Malaysia bankrap jika penuhi RM62.59 bilion tuntutan Sulu

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Hassan)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Hassan)
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Malaysia boleh bankrap jika tuntutan waris Kesultanan Sulu sebanyak AS$14.92 bilion atau RM62.59 bilion berjaya mereka perolehi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara itu perlu diambil serius kerana ancaman waris Kesultanan Sulu itu adalah ugutan yang nyata serta bukan diada-adakan dan kini sudah menjadi isu global.

"Kedaulataan Malaysia sekarang sudah jadi buah mulut dan dijaja di tribunal timbang tara dan mahkamah antarabangsa di Eropah. Isu ini sekarang bukan isu meriam, senapang dan peluru. Ia kini sudah jadi isu perundangan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan politik sempit untuk faedah domestik apabila berdepan ancaman kedaulatan wilayah dari musuh yang berada di luar negara.

Sebaliknya kata beliau, Malaysia perlu mengambil pendekatan patriotik demi kedaulatan negara dengan melibatkan semua pihak bersatu hati tanpa mengira fahaman politik sama ada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

"Mereka tidak boleh kata ini kesalahan kerajaan PH yang lalu. Begitu juga bekas-bekas Perdana Menteri dan menteri-menteri PH tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka dan berkata hal ini bukan salah mereka tetapi ini kecuaian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN terdahulu," katanya.

Menurutnya, usaha menyalahkan kecuaian dan tindakan Najib dalam isu tuntutan Waris Kesultanan Sulu boleh dibuat tetapi itu hanya untuk mendapat keuntungan politik semasa bagi faedah sementara terutama menjelang pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya, tindakan itu tidak membantu usaha Malaysia mencabar keputusan tribunal timbang tara di Mahkamah Perancis, termasuk golongan anti PH yang berusaha menyalahkan Peguam Negara, Tommy Thomas semasa pentadbiran kerajaan PH kerana mengirim surat kepada peguam waris Kesultanan Sulu, sekali gus turut disifatkan sebagai tindakan bermotifkan politik.

Beliau berpendapat, dalam menghadapi musuh yang sama, maka ada strategi yang perlu dipakai, tidak kira siapa kerajaan sedang mentadbir Malaysia sekarang maka semua pihak, rakyat dan parti-parti politik perlu bersatu menghadapi isu tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap harta kerajaan Malaysia di luar negara.

"Bukan harta milik Petronas sahaja sedang dituntut dan diugut, tetapi harta-harta Malaysia yang lain juga. Kenapa waris Kesultanan Sulu memilih harta milik Petronas? Jawapannya, pertama kerana Petronas banyak harta di seluruh dunia. Kedua, kerana jenama atau 'branding' Petronas dikenali di seantero dunia dalam perlumbaan kereta F1 yang bersifat global itu. Imej Petronas sangat dikenali di planet bumi," ujarnya.

Katanya, apa yang perlu diteliti ialah apakah tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang yang dibantu oleh jemaah menteri secara tanggungjawab bersama atau kolektif.

"De facto Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Peguam Negara, Idris Harun bersama Perdana Menteri dan kabinet memikul tanggungjawab di baris hadapan untuk menghadapi tuntutan waris Kesultanan Sulu dari sudut perundangan antarabangsa. Buat masa ini di Mahkamah Perancis," katanya.

Hassan pada masa sama meminta rakyat Malaysia bertenang dan bersabar dengan memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan yang ada sekarang untuk menghadapi isu serius tersebut.

Ujarnya, keputusan apapun juga tribunal timbang tara bukannya keputusan muktamad kerana dalam kes sekarang ini, keputusan tribunal timbang tara yang diperolehi waris Kesultanan Sulu itu boleh dicabar di Mahkamah Perancis.

Tanggungjawab kini ujarnya, terserah kepada kerajaan dan Peguam Negara serta perlu dibenarkan usul tuntuan waris Kesultanan Sulu dibahaskan di Parlimen kerana isu itu menyentuh kedaulatan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!