MHC sokong Akta Kawalan Tembakau dan Merokok

Akta Kawalan Tembakau dan Merokok akan melarang penjualan tembakau dan rokok elektronik kepada individu yang lahir selepas tahun 2005. - Foto Bernama
Akta Kawalan Tembakau dan Merokok akan melarang penjualan tembakau dan rokok elektronik kepada individu yang lahir selepas tahun 2005. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) menyokong langkah Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok.

Gabungan itu dalam satu kenyataan berkata, akta tersebut akan melarang penjualan tembakau dan rokok elektronik kepada individu yang lahir selepas tahun 2005 dan diharapkan mampu mengekang penggunaan produk itu dalam generasi yang disasarkan.

“MHC mengajak kesemua ahli Parlimen untuk menyokong Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan dan semua rakyat agar menyokong pelaksanaan langkah bersejarah ini untuk melindungi generasi masa hadapan,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

MHC turut mencadangkan beberapa tindakan yang boleh diambil KKM terutama dalam menyampaikan maklumat yang tepat berkenaan rang undang-undang itu kepada rakyat.

“Selain kelebihan dari sudut kesihatan awam, KKM juga perlu memberi penjelasan berkenaan isu-isu berbangkit bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan orang awam.

"KKM perlu menangani pendapat awam dengan berhati-hati dan melibatkan pemegang-pemegang taruh berkaitan untuk mendorong orang awam untuk memilih kesihatan sejagat,” kata kenyataan itu.

Selain itu, KKM juga digesa untuk menguatkuasakan akta tersebut secara teratur dan berkesan untuk memastikan tujuan utama undang-undang itu berjaya dicapai.

“Berikutan pewartaan larangan merokok di semua premis makanan dan minuman pada tahun 2020, didapati rata-rata rakyat patuh terhadap larangan tersebut.

“Penguatkuasaan yang berkesan bakal mematahkan tuduhan bahawa langkah ini akan meningkatkan keberadaan rokok seludup dalam pasaran. Kerjasama antara kementerian seperti antara KKM dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna adalah diperlukan dalam mengurangkan penjualan rokok seludup,” katanya.

MHC juga menyedari ia satu keputusan sukar yang terpaksa dibuat, namun langkah menguatkuasakan akta tersebut akan memberikan banyak faedah kepada generasi akan datang.

“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati 11.6 peratus daripada golongan remaja merupakan perokok, 7.5 peratus menggunakan rokok elektronik dan 15.6 peratus daripada remaja berusia antara 15-19 tahun adalah pengguna hasil tembakau.

"Statistik ini adalah membimbangkan kerana kita sedia maklum berkenaan kesan buruk penggunaan hasil tembakau terhadap kesihatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!