Sasar 300 beg tampung keperluan Tabung Darah HTJS
SEREMBAN - Yayasan Matrix Concepts (MCF) dan Pusat Perubatan Mawar dengan kerjasama Persatuan Fo Guang Seremban menyasarkan 300 beg darah menerusi penganjuran program derma darah selama dua hari bermula Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Mawar, Dr Ong Chiew Ping berkata, ia bagi menampung keperluan Tabung Darah Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
"Program ini diadakan setelah terhenti selama setahun akibat pandemik Covid-19.
"Kali terakhir ia dijalankan pada bulan Jun 2020 dan kami berjaya mengumpul sebanyak 442 beg darah," katanya dalam sidang akhbar pada program berkenaan di Pusat Perubatan Mawar di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concept, Datuk Seri Lee Tian Hock; Penasihat MCF, Datin Seri Yong Chou Lian dan Pengerusi MCF, Datuk Noordin Yatib.
Chiew Ping berkata, pihaknya mengambil maklum peningkatan aktiviti derma darah di seluruh negara dan Tabung Darah HTJS juga memberitahu bekalan darah untuk jenis AB kini berada pada paras optimum
"Justeru itu, kami menyemak semula sasaran pada kali ini dan berharap sekurang-kurangnya dapat mengumpul sebanyak 300 beg darah," katanya.
Dalam pada itu, Chiew Ping berkata, bekas pesakit Covid-19 yang ingin menderma darah perlu menunggu 10 hari selepas pulih sepenuhnya.
"Bagi kontak rapat pula, mereka boleh berbuat demikian selepas tamat tempoh kuarantin dalam tempoh tujuh hari.
"Ia bagi memastikan mereka sihat dan pulih sepenuhnya sebelum menderma darah supaya kesihatan mereka tidak terjejas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!