BN yakin rampas kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya

Mohd Ridhwan (kiri) beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada program Komuniti Sihat Keluarga Hang Tuah Jaya Golongan Asnaf dan B40 di Dewan Japerun Bukit Katil pada Sabtu.
Mohd Ridhwan (kiri) beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada program Komuniti Sihat Keluarga Hang Tuah Jaya Golongan Asnaf dan B40 di Dewan Japerun Bukit Katil pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya dalam keadaan siap siaga dan yakin untuk merampas kembali kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, selama dua penggal Parlimen Hang Tuah Jaya di bawah pembangkang dan dalam tempoh itu juga BN kawasan itu sentiasa melakukan gerak kerja membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, kesungguhan dan keikhlasan yang ditunjukkan jentera parti itu diyakini akan dinilai oleh rakyat dan akan diterjemahkan dalam PRU nanti.

Katanya, momentum yang terbina selepas kekalahan BN pada PRU sebelum ini dan kemenangan sekarang tidak mustahil kepada parti itu untuk merebut kembali kerusi yang pernah menjadi kubu kuat BN.

"Kami betul-betul bersedia berkhidmat untuk rakyat. Sudah dua penggal kita tidak dapat mewakili suara rakyat bagi Parlimen ini dan penggal ketiga ini kita akan cuba," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Komuniti Sihat Keluarga Hang Tuah Jaya Golongan Asnaf dan B40 di Dewan Japerun Bukit Katil di sini, pada Sabtu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, provokasi yang dimainkan segelintir pihak mengenai isu undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri setiap kali menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dianggap sebagai isu lapuk.

Menurutnya, ketika pertama kali Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali diamanahkan memegang jawatan terpenting dalam negeri Melaka itu timbul isu lompat kerusi.

"Ketika BN menang tidak banyak, mereka timbulkan isu lompat-melompat kerusi. Tapi sekarang bila BN menang besar, mereka timbulkan pula isu undi tidak percaya Ketua Menteri, sedangkan kami semua ahli BN menghormati Datuk Seri Sulaiman sebagai Ketua Menteri," katanya.

Pada program itu, seramai 585 individu daripada golongan asnaf dan B4 melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan turut menerima sumbangan RM100 seorang bagi meringankan beban.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!