Kereta sorong RM25,000 untuk kanak-kanak cerebral palsy
KOTA BHARU - Pasangan suami isteri dari Kampung Pulau Beluru di sini bersyukur kerana nasib anak orang kurang upaya (OKU) mereka, Nurul Aisyah Mohd Noor, 7, mendapat perhatian Lotu's Malaysia.
Lebih menggembirakan Nurul Baiyah Rosli, 37, dan Mohd Noor Mohd Amin, 47, menerima kereta sorong bernilai RM25,000 sekali gus memudahkan mereka berulang-alik membawa Aisyah mengalami celebral palsy ke klinik kesihatan berdekatan.
Nurul Baiyah berkata, kemudahan itu juga meringankan beban kudratnya mendukung Aisyah ke pusat Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Sungai Pinang.
"Sebelum ini saya terpaksa menggunakan penggendong bayi sambil menunggang motosikal untuk membawa Aisyah ke klinik kesihatan kira-kira 500 meter dari rumah kami.
"Bagaimanapun cara itu berbahaya untuk kami kerana berat Aisyah juga sudah tidak sesuai dengan alat itu," katanya ketika ditemui pada program 'Kelantan Dekat di Hati' pada Jumaat.
Sumbangan disampaikan Pengurus Lotu's Store Kelantan, Koh Siuew Luan dan Ketua Komunikasi dan CSR Lotu's Malaysia, Zakiah Hanim Hamdan.
Ibu kepada empat anak berusia 7 hingga 14 tahun itu memberitahu sudah tiga tahun tidak membawa Aisyah untuk pemantauan doktor pakar di bandar Tumpat.
"Kami terpaksa berjimat kerana anak-anak lain juga memerlukan belanja persekolahan ditambah kos lain yang semakin meningkat," katanya.
Nurul Baiyah bagaimanapun bersyukur kerana Nurul Aisyah tidak mengalami pemyakit lain dan keadaannya juga semakin baik.
Katanya, banyak perubahan yang berlaku selepas Aisyah pergi ke PDK terutama pergerakannya yang semakin aktif selain sudah boleh menulis dan mengenal huruf.
"Kami dapat melihat perubahan Aisyah ketika usianya lebuh dua tahun dan kini keadaannya bertambah baik," katanya.
Selain itu, Lotu's turut memberi sumbangan barangan keperluan harian kepada seorang lagi kanak-kanak yang masih dalam rawatan dan perhatian doktor pakar, Iman Fayadh Zamri.
Ibu kanak-kanak berusia dua tahun setengah itu, Wan Nor Suriyani Wan Yahya, 33, berkata, doktor masih belum membuat pengesahan mengenai penyakit anaknya.
"Anak saya terlalu aktif dan mencederakan diri sendiri tetapi kini masih dalam rawatan," katanya.
Ibu kepada tiga anak itu bersyukur kerana sumbangan itu dapat meringankan beban menampung kos pembelian barang berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!