PM lancar perkhidmatan 5G luar bandar pertama di Malaysia

Ismail Sabri (tiga dari kanan) memukul gong sempena perasmian Hab Digital Ketereh pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di YKK, Peringat di Kota Bharu pada Sabtu.
Ismail Sabri (tiga dari kanan) memukul gong sempena perasmian Hab Digital Ketereh pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di YKK, Peringat di Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan perkhidmatan 5G pertama luar bandar di negara ini sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kelantan pada Sabtu.

Parlimen Ketereh menjadi lokasi perintis kepada projek tersebut di negara ini.

Pelancaran detik bersejarah itu yang berlangsung di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat di sini turut disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan program 'bekwoh' yang dihadiri oleh 5,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, Parlimen Ketereh menjadi lokasi perintis kepada pelaksanaan projek 5G di kawasan luar bandar.

"Hasil ujian yang dijalankan mendapati kelajuan internet dicapai ialah 1.5 gigabit persaat untuk 5G.

"Ini adalah 100 kali lebih baik daripada kelajuan internet yang kita dapati pada masa sekarang," katanya.

Menurutnya, SKMM akan sentiasa memantau dan melakukan ujian untuk melihat tahap kelajuan capaian 5G di kawasan itu dari masa ke masa.

Katanya, segala input yang diperoleh dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menambah baik sebelum diperluaskan ke lokasi lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!