MPT perlu buat semakan semula isu mural juruterbang AS

Lukisan mural juruterbang wanita Amerika Syarikat, Amelia Earhart di Jalan Abdul Jalil, Taiping diiktiraf sebagai lukisan mural tiga dimensi terbesar di Malaysia oleh The Malaysia Book of Record (MBOR). - Foto Bernama
Lukisan mural juruterbang wanita Amerika Syarikat, Amelia Earhart di Jalan Abdul Jalil, Taiping diiktiraf sebagai lukisan mural tiga dimensi terbesar di Malaysia oleh The Malaysia Book of Record (MBOR). - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) diminta membuat semakan semula berhubung isu lukisan mural juruterbang wanita Amerika Syarikat (AS), Amelia Earhart di Jalan Abdul Jalil, Taiping yang didakwa tidak sesuai dijadikan sebagai antara ikon pelancongan daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, setakat ini tiada aduan rasmi dikemukakan mana-mana pihak kepada beliau mengenai lukisan mural yang dihasilkan pada 2019 dan diiktiraf sebagai lukisan mural tiga dimensi terbesar di Malaysia oleh The Malaysia Book of Record (MBOR).

"Selalunya memang disemak (fakta) dan proses itu mesti melalui pihak MPT.

Kita juga akan mohon kepada pihak terbabit untuk sediakan bukti bahawa fakta itu sahih.

"Kita akan bincang semula dengan Yang Dipertua MPT, kita belum ada kepastian sama ada perkara itu betul bercanggah tapi kalau benar kita akan membuat pembetulan di situ," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Lorong Seni@Lorong Panglima di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, wujud perdebatan dalam kalangan ahli sejarah di media sosial mengenai Amelia Earhart yang didakwa tidak melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Tekah, di Taiping pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sewaktu dinobatkan sebagai wanita pertama melakukan penerbangan solo merentas Lautan Atlantik.

Hal ini kerana tiada bukti yang direkodkan mengenai perkara itu sedangkan misi penerbangan beliau mendapat liputan meluas daripada pihak media. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!