PM Thai 'masih kebal'

Prayut Chan-o-cha terselamat undi tidak percaya kali keempat yang diadakan di Parlimen pada Sabtu. - Foto Agensi
Prayut Chan-o-cha terselamat undi tidak percaya kali keempat yang diadakan di Parlimen pada Sabtu. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha terselamat undi tidak percaya kali keempat yang diadakan di Parlimen pada Sabtu menjelang pilihan raya umum yang mungkin berlangsung dalam tempoh kurang setahun.

Nasib sekali lagi menyebelahi bekas ketua tentera berusia 68 tahun itu yang kekal memegang jawatan itu sejak 2019 selepas beliau meraih 256 undi, dengan 206 menentang manakala sembilan berkecuali.

Difahamkan, pihak pembangkang memerlukan lebih 239 daripada 477 undi di Parlimen untuk menyingkirkan beliau yang turut berdepan siri protes awam menuntut pengundurannya.

"Ketika perbahasan diadakan beberapa hari lalu, antara isu yang dibangkitkan pihak pembangkang mengandungi maklumat tidak tepat dan kerajaan menggunakan peluang ini untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Sekarang proses undi tidak percaya itu sudah selesai dan kami menggesa parti pembangkang untuk saling bekerjasama demi rakyat serta negara ini," ujar jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana.

Sebelum ini, pihak pembangkang mendakwa kepimpinan Prayut terdiri daripada gabungan 17 parti terlibat skandal rasuah dan salah urus ekonomi.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan protes terdiri daripada golongan belia yang muncul pada Julai 2020 untuk mencabar kepimpinan Prayut turut mengadakan proses undi tidak percaya selari yang meraih keputusan 16,690 undi menentang kerajaan dan hanya 251 menyokong.

Keputusan tinjauan baru-baru ini juga menunjukkan populariti beliau semakin merosot walaupun penganalisis politik menjangkakan pemimpin kontroversi yang melancarkan rampasan kuasa pada 2014 kekal menang pada pilihan raya umum.

Sehingga kini, Prayut masih mengunci mulut tentang tarikh sebenar pemilihan tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!