Sekuriti makanan: 27 penyelesaian teknologi sedia dilaksana
KOTA TINGGI - Sebanyak 27 daripada 46 penyelesaian teknologi untuk membantu dalam menangani isu sekuriti makanan negara, tersedia untuk dilaksanakan segera, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, penyelesaian teknologi yang dikenal pasti itu terbahagi kepada beberapa kluster iaitu biji benih; biobaja dan baja penggalak; penggunaan dron dan robotik; perkhidmatan ujian dan aplikasi Internet kebendaan (IoT); akuakultur serta makanan ternakan.
Adham berkata, antara penyelesaian diketengahkan ialah penggunaan automasi sistem fertigasi, pertanian menegak dan akuaponik yang diganding bersama aplikasi kecerdasan buatan, seterusnya mengurangkan kos operasi melalui Panel Tenaga Suria Nano.
Langkah ini katanya mampu merancakkan industri agropertanian dan memastikan kesinambungan industri agromakanan.
"Kluster yang MOSTI gerakkan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta kerajaan bagi memastikan sebahagian dari tugasan kita ialah menggunakan teknologi terkini.
"Kita juga telah berkolaborasi dengan pembekal teknologi yang kini telah buat kesedaran bagaimana ia dapat digunakan secara langsung dan tidak langsung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bazar Komuniti Kejora & Kejora Santun Usahawan di Dewan Bandar Tenggara Kejora, di sini pada Sabtu.Ahli Parlimen Tenggara itu juga berkata, usaha untuk membangunkan teknologi berkaitan tanaman akan terus diusahakan membabitkan pemain utama seperti pengusaha, pihak industri dan ahli akademik bagi membantu menangani isu-isu semasa negara dengan segera.
"Kita (juga) akan terus membangunkan teknologi masyarakat atau yang boleh kita bekerjasama dengan pihak antarabangsa.
"Setakat ini, 27 (penyelesaian teknologi) yang tersedia, kita sudah ada bukti dan dipamerkan dan boleh digerakkan atau dilaksanakan terutama teknologi biobaja di mana kos bio baja itu dapat dikurangkan berbanding kaedah sekarang," katanya.
Bulan lepas, Dr Adham dilaporkan sebagai berkata, sebanyak 46 penyelesaian teknologi telah dikenal pasti tersedia untuk membantu dalam menangani isu sekuriti makanan.
Menurutnya, MOSTI menawarkan senarai inventori teknologi di bawahnya yang boleh digunakan segera bagi tujuan itu; dan kepakaran lebih 800 saintis Akademi Sains Malaysia juga boleh dimanfaatkan dalam mengenal pasti serta memadankan kaedah penyelesaian terbaik berlandaskan teknologi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!