Kroni Rajapaksa kekal dominasi kerajaan sementara

Gunawardena (kanan) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri baharu Sri Lanka di hadapan Wickremesinghe di Colombo pada Jumaat. - Foto AFP
Gunawardena (kanan) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri baharu Sri Lanka di hadapan Wickremesinghe di Colombo pada Jumaat. - Foto AFP
A
A
A

COLOMBO - Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe pada Jumaat melantik barisan kabinet baharu yang terdiri daripada sekutu pendahulunya, Gotabaya Rajapaksa sekali gus menguatkan lagi pengaruh pemimpin itu yang digulingkan pada 9 Julai lalu.

Perkembangan terbaharu politik di negara itu jelas menunjukkan Wickremesinghe gagal menunaikan janjinya sebelum ini.

Pada minggu lalu, Wickremesinghe menggesa kesemua parti untuk mencapai konsensus bersama mengenai penubuhan kerajaan sementara.

Difahamkan, pelantikan 18 anggota baharu kabinet itu dibuat selepas Perdana Menteri baharu, Dinesh Gunawardena mengangkat sumpah jawatan.

Barisan kerajaan sementara itu bagaimanapun dibantah kumpulan penunjuk perasaan yang masih mengadakan protes sejak Mac lalu tanpa menghiraukan perintah darurat yang masih dilaksanakan di negara tersebut.

“Kabinet baharu itu tiada makna apa-apa. Wickremesinghe masih mengekalkan barisan menteri lama yang merupakan kroni Rajapaksa yang terkenal dengan skandal rasuah dan nepotisme,” kata pemimpin protes, Namal Jayaweera. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!