Lima maut nahas JRTB dekat Gerik
GERIK - [DIKEMAS KINI] Lima individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur - Barat (JRTB) Gerik - Jeli berhampiran Hentian Rehat Titiwangsa di sini pada Sabtu.
Mangsa terlibat dikenali sebagai Mohd Rodhi Othman, 58, Ahmad Khomaini Abu, 30-an, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, lima tahun.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, nahas melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan pacuan empat roda Toyota Hilux yang masing-masing dinaiki lima mangsa.
"Pemandu dan empat penumpang MPV telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan di lokasi kemalangan. Laporan lanjut akan menyusul," katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan bomba yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 3.45 petang.
"Pasukan bomba yang tiba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
"Dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli, Kelantan untuk rawatan lanjut manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis," katanya operasi tamat pada jam 7 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!