Elak bincang agihan kerusi, jangan keruhkan keadaan: Mohamad
ALOR SETAR - Kedudukan kerusi yang ditandingi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat ini adalah berdasarkan 'status-quo' (keadaan masa sekarang).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, sehubungan itu ahli dan kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan dinasihatkan untuk tidak membincangkan isu pembahagian kerusi antara parti-parti kompenan.
Menurutnya, perbincangan berkaitan tuntutan mana-mana parti terhadap kerusi yang ditandingi hanya akan mengeruhkan keadaan selain menimbulkan syak wasangka serta tidak puas hati dalam kalangan gabungan parti.
“Setakat ini, kita kekal pada 'status quo' jadi saya harap tidak timbul soal yang mengatakan parti ini nak ambil kerusi siapa atau perlu beri kerusi itu kepada siapa (parti), biarlah kepimpinan peringkat pusat tentukan supaya jangan kita keruhkan semangat keakraban dalam BN,” katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya dan pimpinan Bahagian UMNO Kedah di sini pada Sabtu.
Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, perkara tersebut perlu dirujuk kepada kepimpinan peringkat pusat melibatkan Presiden dan biro politik parti masing-masing.
“Ia penting kerana kita nak menghadapi PRU15, ini keutamaan kita, nak menang pilihan raya dan kita tidak mahu wujudnya syak wasangka atau rasa tak puas hati antara satu sama lain,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail beberapa kali menggesa kepimpinan tertinggi UMNO dan BN untuk meletakkan calon dari parti itu bagi mewakili BN bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pada PRU15 berbanding MCA.
Ia susulan MCA yang mewakili BN sebelum ini mengalami kekalahan teruk pada PRU13 dan PRU14 selain sokongan pengundi Cina dilihat semakin berkurangan terhadap calon daripada parti itu.
Mohamad tegaskan, pihaknya percaya selepas pembahagian kerusi dimuktamadkan di peringkat pusat, keputusan itu akan diterima baik di peringkat negeri, Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pembahagian kerusi ini jangan sentuh dulu, nanti wujud perasaan tidak sihat antara satu sama lain. Kita bentangkan strategi dahulu, di situ nanti kita akan melihat secara keseluruhan. Di peringkat pimpinan tertinggi pun belum lagi buat sebarang persetujuan atau perundingan,” katanya.
Menurutnya, kemungkinan perkara itu akan dibincangkan bersama rakan-rakan komponen setelah laporan persiapan pilihan raya setiap negeri disiapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!