Iron Kids: Penantian dua tahun Hannah Zahra berbaloi

Hannah Zahra mengungguli kategori bawah 12 tahun Iron Kids selepas menghabiskan displin berenang 100 meter, berbasikal 4 kilometer dan berlari 1.3 kilometer sempena Ironman 70.3 Desaru Coast di Desaru Coast. - Foto Bernama
Hannah Zahra mengungguli kategori bawah 12 tahun Iron Kids selepas menghabiskan displin berenang 100 meter, berbasikal 4 kilometer dan berlari 1.3 kilometer sempena Ironman 70.3 Desaru Coast di Desaru Coast. - Foto Bernama
A
A
A

PENANTIAN selama dua tahun peserta cilik, Hannah Zahra Mat Zainizam untuk menyertai Iron Kids berbaloi selepas muncul peserta perempuan pertama berjaya menamatkan saingan itu di Kota Tinggi pada Jumaat.

Murid Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar 2 berusia 10 tahun itu berkata, kali terakhir dia menyertai Iron Kids adalah pada 2019 di Langkawi sebagai peserta kelima menamatkan acara itu.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, dia membuat persediaan selama tiga bulan bagi menghadapi saingan Iron Kids dan memperuntukkan masa berlatih pada setiap kali pulang dari sekolah.

"Selepas balik sekolah saya fokus berlatih untuk larian, sebelah malam berbasikal dan sekiranya ada waktu terluang saya berlatih berenang pula.

"Saya rasa sangat bangga (sebab) ini kali pertama dapat tempat pertama, kali terakhir sertai Iron Kids pada 2019 dapat nombor lima," katanya pada sidang media.

Menyifatkan kesemua acara mempunyai cabaran tersendiri, Hannah Zahra berkata, dia tidak serik dan akan terus menyertai Iron Kids pada masa akan datang.

Sementara itu, peserta lelaki Ikram Shrudin Johari, 10, berkata, dia tidak menyangka menjadi peserta kelima menamatkan saingan meskipun kali pertama menyertainya.

"Puas hati sebab dapat lima terbaik, boleh kata semua acara dalam Iron Kids mencabar.

"Tetapi yang paling mencabar apabila saya habiskan tenaga untuk berenang dan berbasikal, selepas itu berlari rasa paling penat...tetapi syukur tetap dapat lima teratas," kata murid Sekolah Rendah Islam Hidayah itu.

Sebanyak 122 peserta kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun daripada 10 negara menyertai Iron Kids semalam, sekali gus membuka tirai penganjuran kejohanan sukan ekstrem Iron Man 70.3 Desaru Coast.

Peserta kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan itu terlibat dalam acara renang 100 meter, berbasikal empat kilometer dan larian 1.3 kilometer.

Iron Kids mendapat sambutan hangat dengan ibu bapa dilihat turut memberikan sokongan padu dan memberikan kata-kata semangat serta turut sama berlari di samping mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!