Piala FA: Selangor mara ke separuh akhir tewaskan Sabah
SELANGOR FC mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menewaskan Sabah FC 2-0 pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, Selangor bermuka garang apabila berjaya mendapatkan pada minit pertama perlawanan menerusi penyerang importnya, Herlison Caion.
Tersentak dengan gol tersebut, Sabah cuba mengatur kembali perlawanan dengan lebih tersusun dengan memperoleh beberapa peluang terbaik untuk kembali menyamakan kedudukan.
Namun kekebalan benteng skuad gergasi merah nyata mengecewakan skuad badak sekaligus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, aksi seimbang ditampilkan kedua-dua pasukan apabila mereka saling berbalas serangan.
Bagaimanapun tuah nyata memihak kepada Selangor apabila Caion sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Sabah FC apabila mencetak gol pada minit ke-81 menerusi sepakan Chip menewaskan penaga gol Sabah sekaligus mengesahkan kemenangan mutlak 2-0 buat skuad gergasi merah itu.
Untuk rekod, Selangor merupakan juara lima kali di mana kali terakhir mereka menjulang Piala FA pada musim 2009 selepas berjaya menundukkan Kelantan menerusi penentuan sepakan penalti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!