Nahas lima beranak maut: Kenderaan dinaiki dirempuh Hilux

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
A
A
A

IPOH - Hilang kawalan dipercayai menjadi punca nahas dua kenderaan di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli hingga mengakibatkan lima sekeluarga terkorban pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati, pacuan empat roda Toyota Hilux yang datang dari arah Gerik ke Jeli telah hilang kawalan dan masuk ke arah bertentangan.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga itu tidak dapat mengelak lalu bertembung.

"Semasa kejadian, MPV berkenaan dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan empat penumpang telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini oada Ahad.

Beliau berkata, mereka yang meninggal dunia merupakan pasangan suami isteri, Ahmad Khomainin Baba, 32, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan anak perempuan mereka, Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.

Katanya, dua lagi mangsa merupakan ibu bapa kepada Siti Aishah iaitu Mohd Rodhi Othman, 64, dan Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59.

Mayat mangsa ketika dibawa ke Hospital Gerik bagi proses bedah siasat.
Mayat mangsa ketika dibawa ke Hospital Gerik bagi proses bedah siasat.

"Proses bedah siasat telah selesai dan semua jenazah akan dikafankan di Bilik Mayat Hospital Gerik pada 9 pagi Ahad.

"Mereka yang tinggal di Sungai Petani, Kedah akan dikebumikan di Kampung Permatang Sungai Dua, Butterworth Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, terdapat empat penumpang dalam kenderaan Toyota Hilux terselamat dalam kejadian itu.

Ujarnya, kesemua mereka yang berasal dari Tumpat, Kelantan hanya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

"Siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai yang menggunakan jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu.

"Juga merancang perjalanan serta mendapatkan rehat yang secukupnya ketika ingin melakukan perjalanan yang jauh," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 3.45 petang itu, lima sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut selepas MPV dinaiki terbabit dalam nahas dengan sebuah Toyota Hilux.

Kejadian mengakibatkan kedua-dua kenderaan remuk teruk dengan pacuan empat roda terbabit terbalik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!