Haramkan kemasukan alat ganti ubah suai motosikal: Aktivis

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia mencadangkan agar kerajaan mengharamkan kemasukan alat ganti pengubahsuaian untuk mengelakkan pemilik melakukan ubah suai terhadap motosikal mereka.

Ketua aktivisnya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, pemilik motosikal terutama anak muda tidak mungkin dapat mengubah suai kenderaan mereka jika kerajaan tidak membenarkan pembekal membawa masuk alat ganti tersebut ke dalam negara.

"Kenapa hanya pemilik kenderaan khususnya anak-anak muda yang berdarah muda sahaja yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mengubah suai motosikal mereka sedangkan pembekal dibebaskan begitu sahaja?

"Jika benar kerajaan ingin menyelesaikan isu ini, lebih baik kerajaan memainkan peranan utama mereka mengharamkan kemasukkan alat-alat ganti pengubahsuaian dan bukannya menzalimi rakyat sendiri.

"Jangan hanya tahu menghukum, tetapi dalam masa yang sama kerajaan yang bertanggungjawab membenarkan alat-alat ganti pengubah suaian dibawa masuk dalam negara dijual kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan saranan pakar keselamatan jalan raya, Profesor Madya Dr Law Teik Hu supaya pemilik bengkel yang dikenal pasti menjalankan khidmat mengubah suai motosikal melebihi modifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu ditarik semula lesen perniagaan mereka.

Menurutnya, modifikasi yang disarankan hanya melibatkan pengubahsuaian kecil atau pemasangan alat kelengkapan tambahan atau pemasangan aksesori yang tidak mengubah identiti dan tidak mengganggu ciri-ciri keselamatan kenderaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!