Ciuman, pelukan erat ibu jadi petanda
GERIK - Dakapan erat dan ciuman ibu tercinta menjadi petanda pemergian lima sekeluarga dalam nahas di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa di sini, pada Sabtu.
Perkara itu dikongsi Mohammad Firdaus Mohd Rodhi, 35, anak sulung daripada lima beradik kepada pasangan Mohd Rodhi Othman, 64, dan Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, yang maut dalam kejadian itu.
Kejadian sekitar jam 3.45 petang itu turut meragut nyawa adik perempuan Mohammad Firdaus, Siti Aishah, 32, suaminya, Ahmad Khomainin Baba, 32, dan anak perempuan mereka, Zara Hana, 6.
Mohammad Firdaus berkata, sehari sebelum kejadian, lima sekeluarga yang menetap di Sungai Petani, Kedah pergi ke Pasir Tumboh, Kelantan untuk menghantar seorang lagi adik perempuannya mendaftar masuk ke sebuah pusat pengajian.
Menurutnya, mereka sepatutnya pulang pada Ahad, namun mempercepatkan perjalanan balik kerana mahu menghadiri pengebumian seorang saudara rapat yang meninggal dunia.
"Pagi Jumaat itu bila saya datang rumah nak tengok mereka pergi, mak salam dan peluk saya dengan erat. Situasi ketika itu sedikit pelik rasa macam hari raya.
"Suasana pun macam sedih dan lain dari kebiasaan, tetapi saya tak fikirkan sangat, sampailah kejadian ini berlaku, baru saya sedar mungkin itu petanda mereka pergi selamanya," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Gerik pada Sabtu.
Mohammad Firdaus berkata, pada sebelah pagi sebelum kejadian, dia ada menghubungi ibunya itu dan pada sebelah petang beberapa jam sebelum kejadian, adik perempuannya sempat membuat panggilan video dengan adik-beradik yang lain.
"Mak beritahu mereka semua dah makan dan sedang bersiap-siap untuk bertolak balik. Dalam jam lebih kurang 2 petang, adik-adik saya sempat buat video call dalam kereta, mereka maklumkan ketika itu sudah sampai di Jeli.
"Rasa ralat itu ada sebab saya tak sempat nak ikut sama video call, kalau tak, dapatlah saya tatap wajah mereka buat kali terakhir," katanya.
Semasa mengetahui kejadian nahas itu, dia menghubungi polis dan dimaklumkan ada 10 mangsa terlibat dengan lima daripadanya meninggal dunia.
"Saya ingatkan semua mangsa itu mungkin dari dua kenderaan berbeza, tetapi tak sangka kelima-lima itu semuanya melibatkan keluarga saya.
"Sedih memang sedih, tetapi ini takdir yang perlu kami terima kehilangan lima keluarga serentak," katanya.
Dia berkata, bapanya merupakan bekas pensyarah dan ibunya bekas guru sangat aktif walaupun telah bersara dengan terlibat dalam perusahaan kolam ikan.
Sementara adik perempuan dan suaminya masing-masing bekerja sebagai pereka grafik.
Semua jenazah akan dikebumikan dalam dua liang lahad di Kampung Permatang Sungai Dua, Butterworth Pulau Pinang pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!