Lelaki maut dalam kebakaran rumah teres
RAWANG - Seorang lelaki maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Country Home di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bersama jentera dikejarkan ke lokasi kebakaran dan tiba pada jam 9.41 pagi.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar pada bahagian dapur dan bilik," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, kejadian itu melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 58 tahun dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!