Tuntutan Sulu: Tun M akui pernah sokong Najib henti bayaran

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pernah menyokong keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghentikan bayaran kepada waris kesultanan Sulu pada tahun 2013 selepas insiden serangan di Lahad Datu, Sabah.

Katanya, sokongan tersebut diberikan kepada Najib yang ketika itu masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dibuat dengan mengambil kira kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pekan berkenaan.

“Pada masa itu Najib buat kenyataan bahawa dia tidak akan bayar (kepada waris kesultanan Sulu). Pada masa itu saya cuma sokong dia sahaja. Dia (Najib) yang buat keputusan.

“(Najib) yang buat keputusan (sendiri), bahkan saya diberitahu keputusan itu tidak dirujuk kepada kabinet (pun),” katanya pada sidang akhbar selepas selesai Wacana Hala Tuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian Negara 2021 PTTI di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

Menjelaskan perkara itu, Dr Mahathir berkata, sewajarnya kerajaan dipimpin Najib pada ketika itu mengkaji terlebih dahulu sama ada serangan tersebut benar-benar dilakukan oleh waris kesultanan Sulu atau pihak lain memandangkan perjanjian mengenai bayaran penyerahan wilayah sebanyak RM5,300 setiap tahun telah dipersetujui sejak sekian lama.

“Kita sudah berjanji untuk bayar setiap tahun sekian banyak (RM5,300 setiap tahun) duit, jadi (apabila) kita janji kita kena tunai janji walaupun ada serangan tetapi kita tidak tahu serangan itu oleh waris kesultanan Sulu atau orang lain.

“Jadi kita (sepatutnya) kena kaji dahulu dan ada pengesahan bahawa yang menyerang itu adalah keturunan Sulu baru boleh kita berhenti tetapi ini tidak ada kajian-kajian (tetapi) terus berhenti (bayar),” katanya.

Justeru katanya, atas ‘kelalaian’ kerajaan pada ketika itu menyebabkan Malaysia berdepan dengan masalah yang boleh mencetuskan pelbagai risiko bahaya pada negara.

“Sebelum daripada itu kita tidak ada masalah (dan) setiap tahun kita bayar (tetapi) apabila berhenti bayar maka mereka bawa kes itu ke mahkamah di Sepanyol tetapi kita tidak iktiraf mahkamah di Sepanyol kerana dalam membuat hukuman kedua-dua pihak mesti dapat atau pertahankan kedudukan mereka tetapi ini dia buat keputusan sebelah sahaja,” katanya.

Pada Sabtu, Najib menerusi hantaran di Facebooknya mendedahkan keratan sebuah akhbar bertarikh 13 Mac 2013 yang menjadi bukti Dr Mahathir pernah memberikan pandangan bahawa Malaysia perlu memberhentikan bayaran kepada waris Kesultanan Sulu.

Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang gara negara itu, Dr Gondola Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris kesultanan Sulu.

Ia susulan Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan oleh itu dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!