30 pasang kebaya 'Mami Jarum' diwakaf

Anas (kanan) melihat kebaya Mami Jarum yang diwakafkan Kartina (dua kanan) kepada Butik Qasehku.com di Taman Ria Jaya Sungai Petani Kedah.
Anas (kanan) melihat kebaya Mami Jarum yang diwakafkan Kartina (dua kanan) kepada Butik Qasehku.com di Taman Ria Jaya Sungai Petani Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kira-kira 30 koleksi baju kebaya milik pelakon filem Mami Jarum diwakaf kepada sebuah butik pakaian terpakai di sini pada Sabtu.

Pelakon, Kartina Aziz, 65, yang membawa watak Mami Jarum dalam filem direkod sebagai 'box office' 20 tahun lalu itu berkata, penyerahan koleksi peribadi dilakukan bagi tujuan amal untuk menampung perbelanjaan rumah kebajikan anak yatim serta warga emas yang diuruskan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, biarpun kebaya tersebut sudah lama dalam simpanan namun rekaan serta fabriknya masih elok dengan jahitan berkualiti tinggi bercirikan tradisional serta mempunyai nilai sentimental.

Katanya, ia diharap mampu menjadi 'saham' berpanjangan serta dimanfaatkan kepada lebih ramai pihak.

"Orang kata kalau nak memberi, beri yang kita paling sayang.

Pernah ada pihak minta untuk beli koleksi kesayangan ini dengan seberapa harga sekalipun tetapi saya tak bersedia untuk jual pada masa itu.

"Sebab terlalu sayanglah saya wakaf agar mampu beri manfaat buat diri dan semua," katanya ketika hadir menyerahkan koleksi kebaya kepada Butik Qasehku.com di Taman Ria Jaya, di sini pada Sabtu.

Difahamkan, hasil jualan butik akan digunakan untuk perbelanjaan pengurusan rumah jagaan anak yatim, warga emas dan beberapa rumah mengaji yang dibuka secara percuma kepada golongan sasar di Merbok dan Sungai Petani.

Kartina (kanan) ketika menyerahkan kira-kira 30 pasang koleksi kebaya peribadi yang digayakan menerusi watak Mami Jarum pada 2002.
Kartina (kanan) ketika menyerahkan kira-kira 30 pasang koleksi kebaya peribadi yang digayakan menerusi watak Mami Jarum pada 2002.

Jelas Kartina, kebaya tersebut cukup istimewa kerana dihasilkan di sebuah butik jahitan terkenal di Alor Setar dan dihantar ke Bangkok bagi jahitan sulaman kerawang.

Katanya, usaha itu dilakukan semata-mata bagi menjiwai watak utama Mami Jarum selain kelengkapan hiasan selendang dan barang kemas menyerlahkan penampilan sehingga menjadi fenomena luar biasa ketika tayangannya sekitar tahun 2002.

Tambahnya, pemilihan Butik Qasehku.com juga bertepatan apabila disambut kakitangan, Ahmad Zarrin Anas Ahmad Kamal, 31, berstatus orang kurang upaya (OKU) dan seorang lagi pekerja, Muhammad Hazrul Naim, 19, berstatus anak yatim.

"Melihatkan Ahmad Zarrin Anas atau lebih mesra dipanggil Anas, hati ini rasa lega telah membuat pilihan tepat kerana yakin tempat ini bukan sahaja dijadikan lokasi jualan amal malah turut menawarkan pekerjaan buat dua insan instimewa.

"Semangat Anas yang berkerusi roda melayan pelanggan sudah cukup menimbulkan keinsafan, dia mampu bekerja, menguruskan barangan yang diwakaf bersama Muhammad Hazrul dan sukarelawan lain," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Butik Qasehku.com yang menawarkan harga baju serendah RM10 menjadi tumpuan penduduk setempat sejak dibuka tahun lalu.

Butik tersebut juga memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mewakafkan barangan termasuk pakaian, hiasan rumah, novel, barangan dapur dan aksesori untuk dijual semula bagi tujuan kebajikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!