Jenazah lima mangsa nahas selamat dikebumikan
BUTTERWORTH - Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur - Barat (JRTB) Gerik - Jeli berhampiran Hentian Rehat Titiwangsa pada Sabtu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid di Kampung Permatang Sungai Dua, di sini pada Ahad.
Jenazah Ahmad Khomaini Baba, 32; isterinya, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; anak mereka, Zara Hana, 6 bapa serta ibu Siti Aishah, Mohd Rodhi Othman, 64 dan Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 2.50 petang.
Jenazah lima sekeluarga berkenaan sebelum itu selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Gerik, Perak dan tiba di masjid pada jam 12.55 tengah hari.
Kira-kira 500 orang termasuk ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan hadir memberi penghormatan terakhir serta melakukan solat jenazah sebelum kesemua mayat dikebumikan.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan lima individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur - Barat (JRTB) Gerik - Jeli berhampiran Hentian Rehat Titiwangsa.
Mangsa terlibat dikenali sebagai Mohd Rodhi Othman, 58, Ahmad Khomaini Abu, 30-an, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, enam tahun.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, nahas melibatkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dinaiki lima mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!